“1 April Terlalu Awal,” – Tak Dapat Tarikh Anniversary, Isteri Jamal Abdillah Bersalin Czer Kali Keempat Minggu Depan

Share

Kemeriahan sambutan Aidilfitri buat penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah bakal jadi lebih bermakna apabila isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin dijadualkan akan melahirkan anak keempatnya pada 14 April ini.

Menurut Jamal, isterinya itu akan melahirkan anak bongsu mereka secara pembedahan mengikut tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak hospital.

“Alhamdulillah, sambutan hari raya Aidilfitri saya sekeluarga tahun ini akan diserikan lagi dengan kehadiran cahaya mata bongsu. Isteri saya bakal melahirkan bayi perempuan pada 14 April ini secara pembedahan.

“Banyak perkara yang harus saya tempuhi menjelang minggu hadapan. Kalau ikutkan, saya merancang untuk isteri melahirkan anak bongsu kami pada 1 April sempena ulang tahun perkahwinan tapi doktor kata terlalu awal dan memberikan tarikh 14 April ini,” katanya kepada MH.

Jamal berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu raya terbaru, Rindu Di Hari Lebaran ciptaan S Atan dan lirik oleh Siso yang diterbitkan FMC Music di Hotel Tenera, Bangi, malam tadi.

Pada masa sama, penyanyi lagu Seniman Menangis ini turut mendedahkan dirinya telah menemukan nama yang sesuai buat anaknya itu meskipun sebelum ini pernah meminta pandangan daripada para pengikutnya di laman sosial.

“Alhamdulilah, nama-nama yang para peminat cadangkan pun bagus juga. Saya terima hampir beratus nama menerusi kiriman mesej langsung (DM). Namun, selepas mendengar pandangan ramai, katanya lebih baik saya cari sendiri nama sesuai.

“Saya ada mencari nama seperi ibu Nabi Yusof, makna air mata syurga dan beberapa nama lain. Kesemua nama tersebut mempunyai maksud yang indah.

“Namun, saya belum boleh kongsikan lagi kepada umum. Tunggulah selepas isteri saya melahirkan nanti,” ujarnya lagi.

Ketika ditanya adakah beliau risau dengan keadaan isterinya yang bakal menjalani pembedahan kelahiran buat kali keempat, Jamal memaklumkan dia kini lebih yakin kerana teknologi sudah semakin canggih.

“Di zaman ini, teknologi sudah semakin baik. Jadi, kita tidaklah terlalu risau sangat. Kalau zaman dahulu, kita risau kalau anak ini ada komplikasi lain.

“Doktor pakar sekarang ini sudah boleh buat penilaian dengan lebih baik. Kalau ada apa-apa yang berlaku, mereka boleh kesan lebih awal. Jadi, saya kurang nervous sikit.

“Selepas ini, isteri saya dinasihatkan untuk tidak hamil lagi selepas empat kali menjalani pembedahan. Cukuplah empat orang anak. Dua lelaki dan dua perempuan. Yang penting isteri dan anak sihat,” akhirinya.

Jamal mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017. Hasil perkongsian hidup itu, mereka sudah memiliki tiga anak iaitu Nur Azura Yamani, 3, El Isaac Yamani atau Zack, 2, dan Iskandar Rayyan Yamani kini berusia setahun.

Menerusi perkahwinan terdahulunya, Jamal memiliki dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf