Kredit foto: Bernama
Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, mungkin dikenali sebagai seorang pemimpin yang berperwatakan tenang dan berhemah.
Pemergiannya pada 14 April 2025, meninggalkan kesan mendalam kepada ramai rakyat Malaysia yang pernah berada di bawah pemerintahan beliau yang sentiasa mementingkan rakyat serta memastikan kestabilan dalam negara.
Di sebalik wajah lembutnya, tersimpan pelbagai kisah menarik yang membentuk legasi politik beliau. Jom kita selami 10 fakta menarik tentang figura ini:
Beliau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, gelaran yang menunjukkan rasa hormat rakyat terhadap beliau sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat dan bersifat kebapaan.
Tun Abdullah merupakan cucu kepada Sheikh Abdullah Badawi Fahim, seorang ulama tersohor dan mufti Pulau Pinang pertama. Latar belakang ini menjelaskan kenapa beliau sentiasa menekankan nilai keislaman dan kesederhanaan dalam dasar pentadbirannya.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya, membuktikan bahawa pendidikan Islam adalah asas penting dalam pembentukan prinsip kepimpinan beliau.
Pak Lah ialah Perdana Menteri pertama yang berasal dari negeri Pulau Pinang, sekaligus memberi kebanggaan besar kepada rakyat negeri tersebut. Beliau merupakan ahli parlimen Kepala Batas bermula 1978 sehingga 2013.
Dalam Pilihan Raya Umum 2004, beliau mengetuai Barisan Nasional mencapai kemenangan luar biasa, memenangi 198 daripada 219 kerusi Parlimen — antara majoriti terbesar dalam sejarah pilihan raya Malaysia.
Salah satu inisiatif penting beliau adalah memperkenalkan konsep Islam Hadhari — pendekatan progresif terhadap Islam yang menekankan kemajuan, sains, akhlak, dan tadbir urus baik. Salah satu legasi peningalannya ini dilestarikan di Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Institut Islam Hadhari.
Walaupun dikenali sebagai pemimpin yang lembut tutur kata, beliau juga tegas dalam prinsip. Beliau pernah menukar beberapa pendekatan dalam pentadbiran yang diwarisi daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Antara keutamaan awal pentadbirannya ialah memerangi rasuah dan meningkatkan ketelusan kerajaan, termasuk mengukuhkan institusi seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada tahun 2009, Tun Abdullah menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak secara teratur dan terhormat — satu langkah yang menunjukkan keikhlasan beliau demi kestabilan parti dan negara.
Sebelum bergelar Perdana Menteri pada 2003, beliau terlebih dahulu pernah bergelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86), Menteri Pertahanan (1986-87) dan Menteri Luar Negeri (15 Mac 1991 – Januari 1999).
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan