Sudah 12 tahun tidak muncul di kaca televisyen untuk membuat persembahan, Naqiu (vokalis kumpulan Boboy) akan bersaing dalam program realiti fenomena, Gegar Vaganza 6 (GV6).
Episod pertama bermula 13 Oktober ini.
Naqiu,33, bagaimanapun akui sedikit gementar kerana sudah lama tidak beraksi di pentas secara live di kaca televisyen.
“Saya berdebar juga sebenarnya sebab saya akan bertanding satu pentas dengan idola saya iaitu abang Roy (Roy) dan abang Jatt (Black Dog Bone).
“Sesiapa sahaja yang akan satu pentas dengan idola masing-masing, terutama dalam pertandingan macam ini akan rasa sesuatu yang lain, misalnya kita dah rancang nak buat macam ini, tapi lain pula jadinya,” katanya kepada MH.
Terdahulu, bintang ini ditemui di The Gardens Theatre, The Gardens Mall, Mid Valley baru-baru ini sejurus sesi pengenalan peserta GV6.
Dalam pada itu, pemilik nama penuh Wan Naqiuddin Mohd Najib ini akan membuat persembahan sebaik mungkin,meski menyanyi secara solo.
“Saya tak pernah buat persembahan secara solo dan saya akui saya sedikit kekok.
“Insyallah, saya cuba buat yang terbaik dan satu pembaharuan dalam diri saya,” kongsi Naqiu.
Menurutnya lagi, dia sebelum ini pernah menerima tawaran GV sebelum ini.
“Sebenarnya saya dah dapat tawaran program ini pada GV musim ke-4 tapi saya tolak kerana saya belum bersedia dan saya tak mahu keluar dalam kaca TV lagi ketika itu.
“Kali ini saya yakin untuk masuk program ini kerana saya telah dipujuk oleh seorang kenalan yang dalam industri ini juga,” akuinya sambil tidak mahu mendedahkan identiti individu tersebut.
GV 6 mempertaruhkan barisan penyanyi profesional seperti Sham (Visa), Jatt (Black Dog Bone), Roy, Ameer (Sofazr), Hady Mirza, Naqiu (Boboy), Wann, Mazleela, Feeza, Noorshila Amin, Nurfatima, Kool, dan One Nation Emcess.
Program ini bakal bersiaran di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) bermula 13 Oktober ini yang masih mengekalkan Nabil dan Jihan Muse sebagai pengacara.