“Ada Tawaran Yang Minta Saya Buka Tudung,” – Kembali Aktif, Mia Sara Minta Hormati Pendiriannya Yang Berhijab

Share

Pelakon, Mia Sara Nasuha mendedahkan masih ada pihak yang menawarkannya watak tidak mengenakan tudung, meski bintang remaja itu sudah pun memilih untuk berhijab sejak berusia 11 tahun lagi.

Mia, 16, berkata, gara-gara tawaran sedemikian, dia terpaksa menolak banyak tawaran lakonan dengan cara baik hingga ada yang menyangka dirinya sudah tidak lagi aktif dalam industri seni.

“Tidak saya nafikan apabila mula mengenakan tudung, tawaran yang datang kurang berbanding dulu. Malah baru-baru ini ada tawaran yang meminta saya untuk buka tudung setelah diberitahu mengenai karektor watak yang ditawarkan.

“Banyak perkara sedemikian berlaku lebih-lebih lagi pada peringkat awal saya bertudung. Sebab itu jugalah saya banyak tolak tawaran lakonan.

“Jadi bila jarang muncul di kaca televisyen, ada yang ingat saya sudah tidak berlakon lagi. Apa pun, saya harap mereka menghormati keputusan saya yang berhijab. Saya pakai tudung pun bukanlah atas paksaan mana-mana pihak,” katanya.

Terdahulu, Mia ditemui pada majlis pelancaran De’Xandra Youth Live Launch di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Kembali aktif dalam seni lebih setahun lalu, bintang remaja ini juga optimis kerjasamanya bersama De’Xandra Youth mampu membuka peluang lebih besar bagi dirinya selepas ini.

“Saya gemar teroka dan cuba dunia baru. Semoga projek bersama De’Xandra ini dapat buka mata dan secara tak langsung memberitahu semua bahawa saya masih ada dalam industri.

“Malah, pihak mereka juga sudah merancang pelbagai perkara, misalnya menghasilkan muzik video dan sebagainya.

“Jadi itu antara sebab yang memanggil saya untuk bersama-sama selebriti lain terlibat dalam projek ini.

“Tidaklah orang kata saya hanya berlakon sahaja. Tapi juga ada perkara lain yang saya lakukan,” katanya yang turut aktif memuat naik video di YouTube.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif De’Xandra, Ernayanee Nur Julaimi berpandangan jauh seterusnya mengharapkan agar segmen wangian terbaru ini mendapat tempat di kalangan pembeli sasarannya.

“Rangkaian ini memberi fokus kepada golongan remaja dan buat pertama kali, kami memperkenalkan siri wangian body mist yang mempunyai lima bauan berbeza.

“Idea menghasilkan body mist ini timbul selepas adanya permintaan daripada golongan berkenaan yang mahukan sesuatu yang bersesuaian dengan kehendak mereka di bawah jenama kami,” katanya.

Selain Mia, empat duta lain yang turut sama dipilih ialah Erissa Puteri, Nana Quemar, Kashika Selvam dan Koh Wen Wei.

Published by
Rafiq Mazlan