Hiburan

15,000 Hadir Di Stadium Hoki Nasional, Showcase Jiwa Kacau 2024 Catat Sejarah Penonton Teramai!

Share

Showcase Jiwa Kacau 2024 mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menjadi acara pertama yang menghimpunkan seramai 15,000 penonton di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Kejayaan yang dilakar menjadi bukti bahawa konsert anjuran MND Sport & Event Sdn Bhd itu mempunyai tarikan istimewa sejak penganjuran siri pertamanya pada tahun lalu.

Meskipun ramai yang agak skeptikal mengenai venue konsert yang diadakan di atas stadium hoki ini, namun keputusan tersebut dilihat tepat dan tidak merugikan apabila jualan tiket mencatat jumlah pembelian begitu memberansangkan.

Malah, himpunan band terkemuka tanah air seperti Masdo, Insomniacks, Hujan, Bunkface termasuk kumpulan popular dari Indonesia iaitu Nidji berjaya menarik minat ramai terutama dalam kalangan anak muda.

Sijil Pengiktirafan bagi Showcase Jiwa Kacau 2024 disampaikan wakil MBOR, Siti Hajar Johor kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MND Sport & Event Sdn Bhd, Harith Daniel.

Pentas Showcase Jiwa Kacau 2024 terlebih dahulu dibuka dengan persembahan daripada pempengaruh yang kini bergelar penyanyi, Luqman Podolski.

Luqman menyampaikan lima single iaitu Bahaya Kembar, MYVI, Mungkin Aku Tak Penting, Kalau Kau Rindu dan Ring Ring bagi ‘memancing’ tumpuan penonton.

Acara diteruskan dengan persembahan daripada Kugiran Masdo yang menggamatkan suasana stadium dendangan medley La Obe dan Janji Manis, Miss Flower Learn To Twist, Inilan JalanNya, Berduka Lara, Perih Jerih, Dinda, Malam Pesta Rock N Roll serta Berchanda.

Pentas kemudiannya diambil alih band yang dibarisi jejaka tampan iaitu Insomniacks dengan lagu-lagu hits mereka seperti Igauan Malam, Reminisensi, Teman, Kepala Batu, Sempurna dan Pulang.

Suasana di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil bertambah gamat saat Nidji muncul di pentas untuk mempersembahkan lagu ‘berhantu’ mereka seperti Lala Song, Disco Lazy Time, Arti Sahabat, Sumpah & Matiku, Wadow, Laskar Pelangi, Biarlah dan Hapus Aku.

Tidak terhenti disitu, energi penonton terus memuncak apabila band popular, Hujan muncul dengan menyampaikan lagu Kotak Hati, Obsesi, Ahmoi Chantek, Lonely Solder Boy, Empayarmu, Bila Aku Sudah Tiada, Pagi Yang Gelap dan Aku Skandal.

Bunkface yang bertindak sebagai kumpulan penutup acara tidak kurang hebat saat mendendangkan lagu Hilang, Malam Ini Kita Yang Punya, medley High School Rockers dan Silly Lily, Rentak Laguku, Panik, Situasi serta Revolusi.

Persembahan mereka turut diserikan lagi dengan persembahan bunga api yang disediakan pihak penganjur.

Showcase Jiwa Kacau 2024 turut menzahirkan solidariti buat penduduk Palestin yang kini berdepen kekejaman rejim Zionis menerusi beberapa slot paparan video khas bagi memperingati kesengsaraan dialami mereka.

Published by
Aizam Manaf