Puas Hati Mood ‘Arabian’ Dalam Lagu Tema & Puji Komitmen Baik Ernie Zakri, Pengasas Munawwareen Perkenal Koleksi Baru Yang Kekal Pelihara Aurat Wanita

Share

Pengasas dan Pengarah Urusan Munawwareen Holdings Sdn. Bhd., Datin Hajah Aliza Abu Bakar berpuas hati dengan komitmen yang diberikan penyanyi popular, Ernie Zakri yang diberi kepercayaan untuk membawakan lagu rasmi mereka, Munawwareen.

Lagu berkenaan diperkenalkan secara rasmi ketika sesi pertunjukan fesyen koleksi baharu jenama berkenaan di dalam acara bertemakan Sempurnakan Hijrah Cinta di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Aliza, naskhah berkenaan berbeza dengan pendekatan jenama lain yang mengetengahkan lagu jenama atau jingle dengan lirik berbentuk promosi secara langsung, namun lagu Munawwareen mengutamakan penceritaan nilai-nilai Munawwareen secara ‘soft sell’.

“Saya lebih dekat dengan golongan Muslimah. Jadi kalau boleh saya juga mahukan naskhah yang mempunyai mood ‘Arabian’. Lalu apabila Hafiz Hamidun selaku komposer mencadangkan nama Ernie, alhamdulillah saya sangat berpuas hati Ernie juga memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Sementara itu Hafiz turut berbesar hati apabila diberi peluang untuk sama-sama terlibat di dalam projek berkenaan dan semestinya kesempatan yang diberikan cuba dilakukan dengan sebaik mungkin.

“Untuk menggambarkan maksud dan apa yang diimpikan oleh Datin, Bila bekerja dengan banyak klien, bagi saya yang jenis banyak permintaan ini yang bagus. Sebabnya mereka tahu apa yang dimahukan.

“Kadang kalau ada yang harapkan kepada kita 100 peratus, bimbang nanti sesuatu yang dihasilkan itu tidak mencapai kata sepakat. Jadi adalah lebih baik untuk sama-sama berbincang dan beri idea, sebagaimana untuk projek ini.

“Malah dalam tempoh tiga bulan kami kerjasama, permintaan itu akan ada setiap masa. Tapi saya faham dan berterima kasih kepada team Munnawareh kerana sepakat memilih penyanyi yang profesional untuk menyanyikan lagu ini,” katanya yang mengetengahkan elemen Timur Tengah dan pop bagi lagu tersebut.

Terdahulu, sebanyak 21 rekaan dengan jumlah 36 persalinan dipentaskan dan ia merupakan rekaan koleksi Munawwareen yang akan dilancarkan secara berperingkat bermula Oktober 2022 sehingga Mac 2023 depan.

“Tujuan pertunjukan fesyen ini diadakan adalah bagi meraikan perjalanan baharu Munawwareen kepada semua. Walaupun telah dua tahun beroperasi, tetapi akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia, banyak perkara terpaksa ditangguhkan.

“Selepas membuat penstrukturan semula, ini adalah waktu terbaik untuk melaksanakan kembali perancangan yang telah dibuat.

Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Alhamdulillah, biarpun perjalanan Munawwareen ini tertangguh sementara, saya yakin perancangan yang dikemaskini ini adalah lebih baik,” kata Aliza.

Pada masa sama, ia turut menyerlahkan sisi baharu Munawwareen untuk tempoh enam bulan akan datang. Mengutamakan pakaian patuh Syariah, asas setiap rekaannya memelihara aurat wanita dengan sempurna.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

 

Published by
MH