“20 Tahun Lalu, Susah Cari Sekolah Untuk Anak,”- Mahu Perluaskan Akses Sekolah Pendidikan Khas, Ahmad Idham Jalin Kerjasama Dengan Tadika Swasta

Share

Pelakon dan pengarah terkenal, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri menzahirkan rasa syukur selepas sekolah pendidikan khas yang didirikannya bersama isteri kini bakal menjalinkan kerjasama dengan beberapa tadika swasta di seluruh Malaysia.

Menurut Ahmad Idham, usaha tersebut diadakan bagi memperluaskan lagi akses terhadap sekolah pendidikan khas sejak diusia kanak-kanak lagi.

Katanya lagi, dia sebolehnya tidak mahu para ibu bapa yang lain turut merasai kepayahan untuk menghantar anak-anak istimewa mereka ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan awal seperti mana yang pernah dia lalui lebih kurang dua dekad yang lalu.

“Alhamdulillah semalam telah termeterai memorandum persefahaman antara Sekolah Pendidikan Khas Eden Firdaus bersama Tadika Sinar Indah Berkat di Ampang.

“Hampir 20 tahun yang lalu, susah untuk saya dan isteri cari Sekolah Pendidikan Khas untuk Anak saya, Ahmad Firdaus. Saya yakin dan percaya mereka yang ada anak istimewa pasti pernah melaluinya sama seperti saya,” kongsinya di laman Instagram sebentar tadi.

Pelakon sitkom, Spanar Jaya ini turut menambah, dia juga mahu memastikan anak-anak istimewa ini mendapatkan pendidikan yang terbaik terutamanya dalam aspek pengurusan diri.

“Anak-anak istimewa ini luar biasa dan mereka memerlukan sistem Pendidikan Khas yang sistematik dan komprehensif agar anak-anak ini dapat mengikuti proses pembelajaran dalam rangka untuk mendidik mereka berdikari dalam pengurusan diri.

“Saya terpanggil untuk mengisi kelompongan ini agar mereka yang mempunyai anak-anak istimewa ini dapat memberikan pendidikan sebaiknya buat anak-anak mereka,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Idham turut memaklumkan inisiatif ini juga bakal menyediakan pelbagai kemudahan bukan sahaja buat anak-anak istimewa ini tetapi juga buat para ibu bapa dan pendidik.

“Saya juga mahu me­nyediakan khidmat saringan percuma bagi membantu ibu ba­pa mendapatkan pra diagnosis mengenai kelewatan anak dari segi akademik, mewujudkan pro­gram sokongan bersama komu­niti ibu bapa yang ada anak isti­mewa.

“Dan juga menyediakan lati­han untuk guru mendalami ilmu pengajaran kepada anak istimewa dan melaksanakan program ke­keluargaan dari masa ke masa.

“Saya mulakan di Ampang dan akan kembangkan ke seluruh Malaysia. Doakan saya,” kongsinya lagi.

Ahmad Idham dan isterinya, Amy Aziz mempunyai seorang anak isimewa yang bernama Ahmad Firdaus Ahmad Nadzri, 21.

Selain Ahmad Firdaus, Ahmad Idham dikurniakan tiga cahaya mata lain, Ahmad Aydeel, 18, Kintan Myra, 16, dan Ahmad Khaliff, 12.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Ihsan Foto: Instagram Dr Ahmad Idham

Published by
Aizam Manaf