“20 Tahun Saya Tunggu Untuk Menang…,”- Amyza Aznan Pertama Kali Rangkul Anugerah, Syukur Tak Terhingga

Share

Terukir senyuman kegembiraan bagi pelakon Amyza Aznan apabila namanya diumum sebagai penerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2019.

Kongsi Amyza, ini merupakan pertama kali dia memenangi anugerah berkenaan setelah hampir 20 tahun bergelar pelakon.

“Kali pertama menang anugerah setelah 20 tahun bergelar pelakon. Saya rasa gembira yang tak terkata,” katanya ringkas.

Menurut Amyza, dirinya tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk menang namun rezeki berpihak kepada dirinya.

Di samping itu, pelakon kelahiran Alor Gajah, Melaka ini meluahkan rasa syukur dan puas atas kemenangan ini.

“Saya tak berharap untuk menang dan tak jangka, tapi bila saya menang ni saya rasa sangat gembira, puas hati.

“Saya rasa sangat berbaloi selama 20 tahun saya tunggu untuk menang, Alhamdulillah,” katanya lagi.

Anugerah berprestij itu telah berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Jumaat.

Pelakon Wan Nur Azlin, Laila Nasir, Wan Sharmila dan Faradhiya antara barisan pelakon yang tercalon untuk kategori tersebut.

Sekadar informasi, Amyza merangkul anugerah tersebut menerusi drama berjudul Batik Zakiah.

Published by
Nazar Rafiqhi