Mengalami masalah cakera tulang belakang tergelincir sakit (slipped disc) sejak 2013 lalu, penyanyi senior yang cukup terkenal dengan lagu Teringin, Shima juga mengakui dia memakai lampin pakai buang lebih dua tahun lalu bagi memudahkan urusannya sehari-hari.
Sekali gus, ia menyebabkan masalah penyingkiran air kencing berlaku.
“Sampai sekarang saya pakai lampin pakai buang, 24 jam saya pakai kira-kira sejak dua tahun lalu, malah sebelum saya ke tanah suci untuk tunai umrah lagi.
“Cuma ketika di tanah suci, Allah permudahkan saya tidak alami situasi sulit melibatkan buang air besar atau kecil.
“Alhamdulillah, saya ‘pakai kosong’, Allah permudahkan sebab niat kita ketika itu adalah untuk beribadah,” katanya yang mengalami sistem pundi kencing yang lemah.
Malah, Shima atau nama lengkapnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman memberitahu dia juga kini ada mengambil beberapa jenis ubat bagi mengurangkan masalah kesihatan yang dialami.
Terdahulu pada Ogos lalu, penyanyi berusia 50 tahun ini juga terharu apabila mendapat surat tawaran menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) bersama suaminya.
“Alhamdulillah dengan rezeki yang Dia bagi dan atas izinNya membuatkan ia semua berlaku. Jadi saya rasa sangat bersyukur dan tidak pernah terlintas pun di fikiran saya perkara ini akan terjadi.
“Bantuan daripada pihak terbabit termasuk rakan media amat-amat saya hargai,” jelasnya lagi yang turut menambah dirinya tidak pernah menyesal atas takdir yang berlaku dalam hidupnya kini.
“Saya tidak pernah rasa kesal kerana tidak menyimpan. Bagi saya apa yang berlaku adalah satu fasa yang saya kena lalui. Saya pernah lalui zaman 80-an, 90-an sehinggalah sekarang. Setiap fasa ada pengalamanya yang berbeza.
“Tidak semestinya kita akan sentiasa berada di atas. Satu hari kita akan sakit, akan jatuh dan ini adalah antara dugaan yang Allah bagi. Saya lalui dengan tenang dan terima hati terbuka dan reda.
“Ini bahagian saya, orang lain saya tidak tahu,” akui Shima yang turut menyifatkan suami adalah insan yang cukup memahami.
“Saya bersyukur kerana miliki suami yang cukup memahami, begitu juga dengan keluarga yang beri sokongan moral. Suami sentiasa ada dengan saya.
Sambil menyifatkan kesihatan adalah yang menjadi keutamaannya ketika ini, Shima juga turut memberi pesan kepada golongan artis muda untuk mementingkan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Jaga kesihatan dan kalau ada simpanan lebih perlu ada insurans kesihatan sebab kita tidak tahu bila kita akan sakit atau berdepan dengan situasi sukar. Tambahan pula sakit tidak mengira umur,” pesan Shima lagi.
Shima terdahulu ditemui pada majlis Sidang Akhbar Konsert Suara Emas Satu Kesan Abadi (Kesinambungan Konsert Penyanyi Lagenda, Allahyargham Saleem) di Panggung Asia, Kuala Lumpur pada Ahad.