Uncategorized

“Walau Sudah Pun Berkecai, Tetap Kuharungi Jua. Tempek Pakai Gam,” – Gambaran Sajat Mengenai Kekuatan Dirinya

Share

Baru-baru ini, pengasas kosmetik yang sudah pun bergelar selebriti, Nur Sajat telah mengadakan sebuah majlis kesyukuran bersempena dengan pembukaan kedai emasnya, Nur Sajat Gold dan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-33 di Wisma Nursajat di Shah Alam.

Mengakui gembira dan lega kerana semuanya berjalan dengan lancar, penyanyi jemputan menerusi single Aliff Syukri ini turut mengharapkan yang terbaik dalam bisnes dan kehidupan. Kata Sajat, sebagai manusia biasa, dia juga berdoa agar dipermudahkan segalanya. Tidak mahu lagi ada caci maki, hentaman dan kutukan daripada netizen mengenai dirinya.

“Saya berdoa agar bisnes yang dijalankan kekal sukses, tak nak ada musuh untuk gaduh-gaduh. Dulu masa orang tidak kenal kita, tiada apa yang perlu dirisaukan. Namun bila sudah berada pada tahap sekarang, masing-masing cuba untuk mencari kesalahan. Jadi pada yang suka hentam tu, cukup-cukuplah.

 

“Kita sudah berada pada tahun 2018 dan bukan zaman untuk cari salah orang. Kita semua mahu yang terbaik dalam kehidupan dan saya pun rasa yang suka menghentam tu pun nak yang terbaik juga dalam hidup. Begitu juga dengan saya.

 

“Sudahlah cetus sesuatu yang boleh jadi gaduh. Sebab apa yang tidak baik ni seakan tiada kesudahan. Saya nak bangsa kita maju dan semua staf saya pun adalah daripada bangsa sendiri. Sedih bila lihat bangsa sendiri cuba nak menjatuhkan rakan sebangsa,” katanya jujur kepada MH.

Kongsi bintang yang sudah pun mempunyai lebih 1 juta pengikut di Instagram ini lagi, meski dia tetap berdoa agar dirinya tidak lagi menjadi mangsa kecaman netizen, Sajat secara hakikat memahami, bila sudah dikenali sudah tentulah setiap inci pergerakan akan menjadi perhatian.

“Kalau nak diikutkan, diri saya ni dah jadi macam ratu viral. Apa yang saya buat, meski benda baik pun orang boleh salah tafsir. Ya, saya memang kena kuat dan kalau nak tahu, diri ni dah macam walau sudah pun berkecai, tetap kuharungi jua. Tempek pakai gam. 

 

“Jadi inilah realitinya. Setiap kejayaan yang dilalui, pasti kita akan harungi macam-macam situasi sama ada positif atau negatif. Cuma itulah, untuk tahun ini dan seterusnya, moga tiada lagilah sebarang kecaman yang tidak baik. Saya pun ada keluarga dan begitu juga dengan anda,” luah Sajat yang bakal muncul menerusi single sendirinya berjudul Makhluk Penggoda tidak lama lagi.

Foto: Instagram Nur Sajat

Published by
Rafiq Mazlan