Memahami kesedihan mereka sekeluarga, penerbit filem berkenaan, Karan Johar bagaimanapun memahami situasi yang dihadapi bintang muda itu.

Difahamkan, Karan telah memberi kebenaran kepada gadis berusia 21 tahun itu untuk bertenang dan dibenarkan untuk tidak menghadiri penggambaran filem tersebut yang kini sedang giat menjalani penggambaran.

Karan yang juga teman rapat kepada mendiang Sridevi tidak memberikan tempoh tertentu kepada Jhanvi bilakah dia akan kembali ke set bagi meneruskan projek filem pertama lakonannya itu selepas terjadinya tragedi sedih yang menimpa.

“Karan sangat rapat dengan Sridevi dan ahli keluarganya yang lain. Jadi, dia faham situasi Jhanvi yang pastinya belum bersedia untuk kembali bekerja. Malah Karang turut memberi arahan kepada pasukan produksi agar tidak terlalu mendesak pelakon muda itu,” kata sumber produski filem itu.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu media Bollywood melaporkan aktres cantik itu sudah pun bersedia dan bersikap profesional dengan kembali ke set penggambaran. Turut sama berlakon di dalam filem tersebut ialah aktor kacak, Ishaan Khataar.

Terdahulu, Sridevi yang sinonim menerusi filem Nagina di negara ini telah meninggal dunia 24 Februari lalu, selepas menghadiri majlis perkahwinan salah seorang ahli keluarganya di Dubai.