“3 Hari Layan Kontraksi, Sempat Makan Durian,” – Kaka Azraff Timang Anak Lelaki Lagi, Anggap Hikmah Hilang Bapa Sejak Umur 10 Tahun

Share

Penyanyi, Kaka Azraff menzahirkan rasa syukur selepas selamat melahirkan cahaya mata ketiga secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di Damansara, Selangor awal pagi tadi.

Memetik laporan Mstar, Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff akui bersyukur kerana segala urusannya sewaktu melahirkan bayi lelaki seberat 2.75 kilogram itu telah dipermudahkan.

“Alhamdulillah, Subuh tadi (Isnin) saya selamat malahirkan anak ketiga secara normal pada pukul 6.03 pagi.

“Syukur semuanya selamat. Bayi dan saya juga berada dalam keadaan yang sihat cuma saya berada sedikit letih selepas melahirkan,” katanya seperti yang dipetik.

Jelas penyanyi lagu Gila itu lagi, selepas hampir tiga hari berhadapan situasi kontraksi namun, rasa sakit makin memuncak sejak malam tadi.

“Sebenarnya saya sudah merasa sakit kontraksi ini selama tiga hari tapi saya layankan sahaja. Saya sempat pergi keluar makan durian lagi.

“Tapi tepat pukul 12 tengah malam tadi, saya terus ke hospital kerana sudah tidak dapat menahan sakit,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, anak saudara kepada ratu rock negara, Ella ini juga menyifatkan kehadiran anak lelaki buat kali ketiga berturut-turut ini merupakan hadiah terindah buat hidupnya.

“Saya rasa bersyukur sangat dan macam tak sangka kerana saya telah kehilangan ayah sejak umur 10 tahun.

“Saya tidak banyak dikelilingi lelaki sewaktu membesar. Jadi, bila berkahwin, dapat pula tiga anak lelaki. Saya rasa ini anugerah Allah untuk saya.

“InsyaAllah, merekalah yang akan menjaga saya tapi buat masa sekarang, mereka adalah amanah untuk saya jaga dan besarkan anak-anak untuk menjadi lelaki yang soleh serta berguna kepada masyarakat,” akhirnya.

Sekadar informasi, Kaka mendirikan rumah tangga dengan Adam Adzriff pada 14 Disember 2018.

Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Aslan, 4, dan Aryan yang kini baru berusia setahun.

Sumber & Kredit Foto: Mstar & Instagram Kaka Azraff

Published by
Aizam Manaf