Pelakon dan hos, Siti Elizad Sharifuddin mengakui meninggalkan rutin cantiknya secara klinikal sementara waktu bagi memberi ruang buatnya dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
Malah katanya kepada MH, dia dan suami juga ada terfikir untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan persenyawaan in vitro (IVF).
“Saya dah tak lalukan apa-apa rutin rawatan kecantikan kira-kira sejak setahun lalu. Sebabnya bimbang ia boleh mengganggu usaha.
“Namun jujurnya saya baru saja terfikir untuk melakukan kaedah IVF, cuma saya lebih selesa untuk bertanya pakar terlebih dulu sebelum melakukan kaedah tersebut.
“Akan tetapi, saya jarang untuk kongsi apa yang kami cuba usahakan sebabnya tak kanlah saya nak cerita dari A hingga Z. Sebenarnya tiap tahun saya cuba tetapi saya sangat terbuka untuk bercerita kalau ada yang tanya.
“Tak kisah untuk berkongsi kerana saya ibaratnya mewakili wanita di luar yang senasib positif dan tak sedih,” kongsi Elizad yang pada masa sama turut melakukan kaedah rawatan tradisonal.
Cumanya untuk tempoh sekarang, dia lebih selesa untuk mendapatkan nasihat dari mereka yang pakar.
“Saya pun pergi berurut juga. Semua tempat yang ada tawarkan perkhidmatan sedemikian, saya cuba untuk pergi. Cuma sekarang saya dapatkan nasihat doktor.
“Perlu bermula dari bawah dan dia ada sarab untuk mendapatkan ubat kesuburan terlebih dulu.
“Tapi kalau saya buat (IVF), saya akan kongsikan pada semua. Saya akan bagi tahu sebab saya nak wanita yang sama kisahnya dengan saya dapat manfaat dan informasi. Begitu juga dari segi harganya,” akhirinya lagi.
Elizad, 34, telah mendirikan rumah tangga dengan duda dua anak, Shamsul Baharin Rahman pada 11 Januari 2015.
Foto: Instagram Siti Elizad