Pelakon veteran, Khatijah Tan menjelaskan dia mempunyai cara tersendiri dalam mendidik pelakon baharu di lokasi penggambaran bagi mencipta keserasian dalam menjayakan sesebuah projek drama atau pun filem.
Menurut Khadijah, sepanjang hampir empat dekad berada dalam dunia seni, dia juga merasakan tidak ada membuli mana-mana pendatang baharu, sebaliknya sentiasa mencari inisiatif untuk saling mengenali antara satu sama lain.
“Saya banyak bekerja dengan pelakon baharu, tapi saya tidak pernah membuli mereka sebab pekerjaan ini adalah ikatan kasih sayang dan saya selalu menjadi ibu mereka.
“Anak-anak muda ni sebenarnya bukan manja, tapi mereka boleh rasa kalau mereka selesa atau tidak dengan seseorang. Kalau mereka rasa tak selesa, mereka cenderung untuk menjauhkan diri.
“Sebab itulah kadang-kadang orang yang lebih senior salah faham dan anggap mereka sombong, sedangkan bukan itu sebabnya. Saya sendiri pernah bertemu dengan beberapa artis muda yang pada mulanya takut nak mendekati saya.
“Apabila saya tanya kenapa, barulah mereka berkongsi pengalaman buruk yang pernah mereka alami, seperti dimarahi sebab tak berjaya memberikan persembahan terbaik. Itu buat mereka lebih berhati-hati,” katanya.
Penerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-46 menerusi filem Embun itu berkata demikian ketika ditemui sejurus Malam Gala Tayangan Filem Jangan Pandang Belakang 2 di The Starling, pada Selasa.
Khatijah bagaimanapun menegaskan apa yang dikongsikan bukanlah untuk menyebelahi mana-mana pihak tetapi sebagai pandangan peribadinya.
“Keserasian antara pelakon sangat penting. Kadang-kadang, cara orang lama nampak macam membuli, tapi sebenarnya tidak begitu. Saya sendiri pernah diajar oleh cikgu-cikgu hebat seperti Ahmad Yatim.
“Cara mereka kelihatan tegas dan keras, tapi akhirnya saya faham, itu adalah pendekatan untuk membantu mengeluarkan potensi sebenar dalam lakonan.
“Teknik lakonan ini sebenarnya sangat luas. Ada yang memilih pendekatan lembut seperti saya, supaya pelakon lain rasa lebih selesa.
“Tapi ada juga yang kasar, bukan kerana mereka tidak suka, tapi itulah cara mereka menunjukkan kasih sayang dan mencipta hubungan yang lebih erat,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Khatijah tampil bersuara dengan sikap segelintir pelakon sekarang yang lebih gemar membuat hal sendiri berbanding berbincang untuk menjayakan sesuatu babak itu dengan lebih berkesan.
“Saya tak faham konsep sekarang. Dulu, kita akan duduk satu meja, berehat dan berbual bersama-sama. Tapi sekarang, suasana itu dah berubah.
“Ada yang memilih untuk duduk sendirian dalam kereta dan hanya keluar bila tiba masa untuk penggambaran. Saya tertanya-tanya, di mana kemesraan yang sepatutnya wujud?
“Jadi , bila saya fikir semula, teguran pelakon senior itu adalah untuk kebaikan bersama. Mereka nak rapatkan hubungan supaya setiap babak itu berjaya dihasilkan dengan baik, cuma pelakon baharu jangan salah tafsir,” katanya.
Terdahulu, timbul isu mengenai dakwaan wujudnya budaya buli dalam kalangan pelakon dan warga kerjaya produksi di antara pelakon senior dan pendatang baharu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini