Pengaruh enam selebriti terkenal yang menjadi duta jenama Amber di bawah rangkaian perniagaan Usanita Sdn Bhd terbukti membawa impak besar apabila jenama itu semakin dikenali di peringkat antarabangsa.
Kejayaan ini semakin terserlah selepas Amber berjaya menembusi pasaran Singapura menerusi penyertaan di pesta raya CelebFest, Singapura, baru-baru ini.
Barisan duta jenama yang terdiri daripada Fattah Amin, Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Nora Danish, Aina Abdul, dan Sophia Albarakbah menjadi antara faktor utama kejayaan Amber dalam menarik perhatian pembeli dan peminat di luar Malaysia.
Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Usanita, Shafiq Ikhwan, kehadiran selebriti ini bukan sahaja meningkatkan permintaan terhadap koleksi Romantics Raya, malah membantu memperkukuhkan jenama Amber di peringkat serantau.
“Kami percaya pemilihan keenam-enam duta ini sangat tepat kerana mereka bukan sahaja mempunyai pengaruh besar, tetapi turut membantu membangunkan jenama Amber.
Kehadiran mereka telah meningkatkan permintaan terhadap koleksi Romantics Raya tahun ini,” katanya.
Tambahnya lagi, kolaborasi bersama selebriti terkenal terbukti memberi impak positif kepada jenama Amber, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk berkembang ke luar negara.
“Pengaruh selebriti dalam dunia fesyen sememangnya tidak boleh disangkal. Mereka bukan sahaja menjadi inspirasi kepada peminat, malah berjaya menjadikan Amber semakin dikenali ramai di Malaysia dan luar negara.
“Kami melihat perkembangan ini sebagai satu kejayaan besar dan akan terus bekerjasama dengan ikon-ikon berpengaruh bagi memperkukuhkan jenama Amber di pasaran serantau,” jelasnya.
CelebFest, yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Suntec City, Singapura, merupakan salah satu festival membeli-belah terbesar menjelang Aidilfitri, menghimpunkan jenama terkenal serta selebriti dari Malaysia, Singapura, dan Brunei.
Sebagai penaja utama acara itu, Usanita Sdn Bhd berjaya menarik perhatian pengunjung menerusi jenama fesyen Amber, yang menampilkan koleksi eksklusif Romantics Raya.
Menurut Shafiq, penyertaan di CelebFest bukan sekadar peluang jualan, tetapi juga platform terbaik untuk mengukuhkan kehadiran jenama di peringkat antarabangsa.
“Usanita sangat bangga dapat menjadi sebahagian daripada CelebFest kerana festival ini bukan sekadar acara jualan biasa. Ia merupakan perhimpunan jenama terkenal, selebriti, serta usahawan hebat dari rantau ini.
“Di sinilah peluang untuk kita bukan sahaja berniaga, tetapi juga berkongsi inspirasi, membina jaringan, dan memperkukuhkan hubungan serantau,” tambahnya.
Dengan kejayaan ini, Usanita Sdn Bhd optimis untuk terus membawa jenama Amber ke peringkat lebih tinggi dan memperluaskan pengaruhnya di luar Malaysia melalui kerjasama strategik dengan selebriti berpengaruh.
Langkah ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang dan menjadikan Amber sebagai jenama fesyen yang kukuh bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini