“Saya tidak tahu, kenapa orang selalu ingat I dengan dia ya?” Itu persoalan yang ditanya pelakon dan hos, Jasmine Suraya Chin apabila kerap kali ditanya sejauh mana hubungannya dengan penyanyi, Sufian Suhaimi.
Jasmine, 30, menjelaskan, hubungan baik mereka tidak lebih sebagai rakan artis dan keduanya turut terlibat dalam projek tele-movie berjudul Pelase Subscibe Cintaku yang bakal ditayangkan di Astro Citra tidak lama lagi.
Dia bagaimanapun tidak menafikan senang bersama dengan penyanyi yang sinonim menerusi lagu Di Matamu itu.
“Jujurnya, Sufian seorang lelaki yang sangat ‘sweet’. Saya juga tidak pernah menilainya daripada kisah yang berlaku kepadanya sebelum ini.
“Cuma bagi saya, kami selesa berkawan baik sejak lebih setahun lalu.
“Senang berkawan dengan Sufian, cuma setakat ini kami hanyalah teman rapat sahaja.
“Malah saya dan dia juga jarang berhubung. Kalau ada masa, barulah saling bersembang. Dia pun ada komitmen sendiri dan begitu juga dengan saya.
“Saya go with the flow. Saya dengan Sufian sepadankah?,” katanya kepada MH.
Ditanya sama ada bintang tersebut memenuhi kriteria lelaki idaman, Jasmine sejujurnya mengakui lelaki tersebut dilihatnya sebagai seorang yang baik dan tidak boros.
“70… 60 peratus kriteria yang ada pada dia memenuhi ciri-ciri lelaki pilihan saya. Sufian seorang yang cukup merendah diri.
“Pada masa sama, dia juga bijak menguruskan kewangan. Misalnya kalau dia ada RM10,000 dalam tangan, dia tidak mudah boros.
“Pada saya, itu antara ciri yang sangat penting bagi seorang lelaki. Seorang yang berjimat tapi tak kedekut. Itu yang bagus,” jelasnya yang bakal muncul menerusi drama Bidadari Salju terbitaan A.Aida Productions bulan depan.
Tidak menolak andai berjodohan dengan lelaki Melayu, pelakon asal Sabah ini juga terbuka di dalam soal mencari teman hidup.
“Saya okay. Sebab teman lelaki pertama saya pun seorang Muslim kerana bapanya berasal dari Indonesia dan ibunya Iban. Lima tahun kami bersama tapi tiada jodoh. Itu cerita lama.
“Jadi saya tidak melihat ia sebagai satu masalah memandangkan rakan-rakan saya pun kebanyakannya Melayu. Begitu juga dengan pihak pengurusan.
“Keluarga pula tidak memberikan apa-apa syarat, selagi anaknya gembira dan lelaki tersebut seorang baik dan boleh terima saya seadanya, itu sudah memadai,” katanya.
Terdahulu, Jasmine turut bertindak sebagai penulis asal dan penerbit bersama menerusi drama Please Subscribe Cintaku.
Jasmine juga sebelum ini juga pernah muncul di dalam muzik video single terkini Sufian, Janji pada Februari lalu.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI