“8 Mei Hari Lahir Arwah & 26 Ramadan Mama Kembali Ke Rahmatullah,” – Aprena Manrose Titip Doa Buat Allahyarham Ibu, Pelakon Rosnah Mohd Noor

Share

Pelakon Aprena Manrose ada menitipkan kata buat Allahyarhamah ibunya, Rasnah Mohd Noor atau nama komersialnya, Rosnah Mohd Noor yang telah pergi mengadap Illahi hampir lapan tahun lalu.

Menerusi satu posting di Instagram, Aprena meminta ramai untuk sedekahkan doa bersempena dengan ulang tahun kelahiran arwah yang jatuh pada 8 Mei.

“Assalamualaikum semua, harini 8 Mei hari lahir arwah ibu saya dan 26 Ramadhan mama kembali ke rahmatullah, jatuh pada hari yang sama. Allahuakhbar.

“Berharap semua dapat sedekahkan Al-fatihah padanya, Rasnah Binti Mohd Noor. Terima kasih banyak-banyak,” tulisnya.

Aprena turut menukilkan doa buat arwah, yang sebelum ini pernah mencipta nama dalam dunia lakonan pada era 80-an.

‘Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku kepada roh ibuku Rasnah Binti Mohd Noor. Ya Allah! Ampunilah dosanya, kasihani dan sejahterakanlah dia. Maafkanlah segala kesalahannya, muliakanlah kedatangannya dan lapangkanlah kuburnya.

“Terimalah kebaikannya dan hapuskanlah kesalahannya dengan Rahmat-Mu, Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin,” tulisnya lagi.

Meninjau ke ruangan komen, para peminat serta rakan artis turut mengucapkan salam takziah bersama iringan doa serta al-Fatihah buat arwah.

Rosnah meninggal dunia pada pukul 2.55 petang, 4 Ogos 2013 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser payu dara.

Aprena yang juga anak kepada bekas penyanyi, Iwan Syahman juga mempunyai seorang abang dan adik perempuan, Oktovia Manrose yang turut aktif dalam dunia lakonan.

Foto: Instagram Aprena Manrose

Published by
MH