Selepas menjuarai program The Hardest Singing Show (THSS), penyanyi Aepul Roza mendedahkan dia dan kumpulannya, Drama Band kini semakin kerap menerima tawaran untuk membuat persembahan dengan gimik-gimik ekstrem.
Menurut Aepul, gimik-gimik ini seakan sudah menjadi trademark selepas mereka melihat kemampuannya ketika bertanding di THSS.
Bagaimanapun, Aepul persembahan seperti ini memerlukan kos yang berbeza daripada persembahan biasa.
“Mungkin kita akan berbincang dengan penganjur. Kalau ada bajet lebih mungkin kita boleh rancang apa-apa gimik seperti drum hidraulik. Kami banyak dapat permintaan untuk buat persembahan yang ada gimik.
“Selepas di THSS dan membawa ke persembahan di luar. Drum hidraulik itu antara gimik yang orang suka. Jadi, persembahan-persembahan luar kotak ini akan menjadi keistimewaan Drama Band.
“Kami juga ingin tampil memberikan kelainan. Ini yang membezakan kami dengan penghibur-penghibur yang lain. Kita akan cuba selitkan stunts dan gimik dalam persembahan kami,” katanya kepada MH.
Perlu Buat Persiapan Rapi
Dalam pada itu, penyanyi lagu ILU ini akui dia ahli kumpulannya harus membuat persiapan rapi bagi memastikan gimik-gimik ini berjalan lancar tanpa sebarang kemalangan.
“Sudah pasti memang ada tekanan. Namun, saya sangat bersyukur kerana Drama Band di kelilingi oleh orang-orang hebat antaranya pasukan koreografer.
“Kebiasaannya, team koreografer ini akan bantu kami untuk merancang gimik persembahan. Mereka juga akan tentukan cara terbaik untuk menjayakan gimik tersebut.
“Malah, bila kita putuskan untuk menjadikan gimik ini sebagai satu trademark, komitmennya akan menjadi lebih berat. Kita perlukan latihan dan punyai tahap kecergasan yang cukup.
“Ketika ini, bukan fizikal ketika main muzik sahaja kena jaga. Fitnes fizikal juga kena berada di tahap terbaik,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Aepul turut turut teruja dengan perkembangan industri muzik tempatan yang kini rancak dengan penganjuran festival-festival muzik.
“Pandangan saya secara peribadi, saya melihat senario ini sangat positif. Bila konsert semakin banyak, ini menunjukkan pasaran dan permintaan terhadap muzik itu sudah berkembang.
“Jika dibandingkan lima atau enam tahun lepas, dalam setahun mungkin kita hanya ada kurang daripada 10 konsert. Dulu, masyarakat kita sering disuap dengan konsert percuma.
“Jadi, mereka tak paham budaya untuk menonton konsert yang gempak dan gah kena bayar. Bila makin ramai yang menghargai karya, timbullah pasaran baharu.
“Sebagai pengharya, nadi kita adalah persembahan secara langsung,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI