Memilih untuk tidak mengulas lanjut susulan tular video kemesraannya bersama pempengaruh dan pelakon Wak Doyok, penerbit Datuk A Aida menyerahkan urusan jodoh di tangan Tuhan.
Bagaimanapun, A Aida, 52, tidak menafikan dia rapat dengan personaliti fesyen itu sejak 2016 lagi.
“Kami sudah lama kenal. Wak Doyok adalah ‘best friend forever’ dan sangat penyayang.
“Mengenai sejauh mana perhubungan kami, saya tidak mahu komen lanjut, tetapi meminta doakanlah. Sekiranya ada jodoh, adalah…,” katanya, lapor BH Online.
A Aida menambah, sifat Wak Doyok yang mengambil berat, kelakar dan bergaya membuatkannya tertarik kepada jejaka berkenaan.
“Dia seorang yang ‘loving’, mengambil berat dan bergaya. Saya sukakan lelaki bergaya kerana saya juga suka bergaya dan menjaga penampilan diri,” kata penerbit filem Ratu Kala Jengking itu lagi.
Mengulas kenyataan dikeluarkan ibu Wak Doyok yang keberatan menerima menantu berstatus ‘janda’, A Aida mengakui, dia sedar mengenai perkara itu.
“Saya tahu mengenainya, sebab itulah saya hanya berserah kepada jodoh. Sekiranya ibu Wak Doyok memberikan lampu hijau, adalah jodoh kami.
“Namun, setakat ini, saya masih belum bertemu dengan ibunya lagi,” katanya.
Ditanya tidakkah serik berkahwin lagi, A Aida menjelaskan, tentunya dia serik untuk berkahwin selepas beberapa kali berdepan kegagalan dalam rumah tangga.
Namun, keinginan kembali hidup berpasangan kembali menerpa selepas tiga tahun hidup sendiri.
“Sebelum ini, saya pernah rasa serik mahu berkahwin lagi, tetapi terasa sunyi pula apabila tiga tahun hidup sendiri.
“Walaupun sentiasa sibuk dengan kerja, tetapi saya juga tidak boleh lari daripada rasa sunyi dan memerlukan seorang lelaki untuk berkongsi suka duka.
“Cuma, anak-anak sudah berpesan agar mencari pasangan bekerjaya. Jadi, Wak Doyok memiliki kriteria yang saya inginkan,” katanya lagi.
Bukan memilih cuma sebaliknya, A Aida berkata, ia bagi menjaga rasa hormat pada pasangan apabila memiliki kemampuan sama.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.