Pelakon Shahronizam Noor kehilangan jari kelingking tangan kanan dan terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur, semalam selepas pisau yang digunakan ketika memotong ayam tersasar dan terkena pada bahagian jarinya.
Anak tirinya iaitu Daniel Khairi berkata, insiden itu berlaku selepas mereka sekeluarga baru selesai berbuka puasa di rumah mereka pada malam Isnin.
“Abah pergi ke dapur untuk memotong daging ayam sebelum diberikan kepada kucing peliharaan kami.
“Malang tidak berbau, dalam proses penyediaan makanan kucing itu, pisau abah tersasar lalu terkena jari kelingkingnya.
“Melihat jarinya yang terkulai putus, kami membawa abah ke hospital untuk mendapatkan rawatan memandangkan kecederaannya parah,” kata Daniel.
Daniel ialah anak kepada penyanyi Safura Yaacob bersama bekas suami terdahulu, Hairi Kool.
Tambahnya lagi, petugas perubatan berjaya menghentikan pendarahan dan membalut luka tersebut, manakala jari yang putus dimasukkan ke dalam sebuah bekas untuk dibekukan.
“Waktu itu doktor pakar tiada. Petugas di situ beritahu, kena tunggu pengesahan doktor pakar sama ada jari tersebut boleh disambungkan balik atau tidak.
“Bagaimanapun pada siang tadi (Selasa), doktor pakar menjelaskan jari itu tidak dapat diselamatkan kerana urat arteri telah putus,” ceritanya.
Mengulas mengenai keadaan ayah tirinya, Daniel menjelaskan Shahronizam, 51, kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat sehingga luka dialaminya sembuh.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI