Dikelilingi sahabat yang memahami dan sentiasa memberi sokongan dikala sedang bersedih, Achey Bocey baru-baru ini turut menerima sepucuk surat daripada kanak-kanak.
Menerusi isi kandungan surat yang diletakannya di dalam peti surat di kediaman Achey, difahamkan kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Azalea, Alisha dan Adam menulis kata-kata semangat buat Achey dan Fad di atas pemergian sahabat mereka, Abam.
“Assalamualaikum abang Achey, kami peminat abang Achey. Abang jangan sedih tau semenjak arwah Abam meninggal dunia. Kita sama-sama doakan arwah Abam agar tenang disana.
“Hanya kenangan yang boleh menggembirakan abang Achey dan abang Fad. Semoga amalan arwah di dunia ini diterima Allah dan semoga arwah Abam ditempatkan dikalangan orang beriman,” baca Achey dengan nada terharu.
Kongsi Achey, dia amat berterima kasih kepada kanak-kanak berkenaan sanggup mengirim surat kepadanya kerana memahami situasinya yang masih dibelengu kesedihan diatas pemergian sahabatnya, Abam pada 10 Februari lalu.
“Budak-budak pun faham, terima kasih hantar surat hingga pos ke rumah. Cantik tersusun ayat kalian,” kata Achey.
Sehingga kini, video tersebut telah mendapat lebih 200,000 tontonan dan ratusan komen.
Video : Instagram Achey
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Telah Dicipta Awal Tahun 2020 Sebelum Pandemik Bersama MFMF,” – Hael Husaini Berkongsi, ‘Bernasyid’ Menerusi Nuraga
Penyanyi Hael Husaini kini muncul dengan single terbaharu, Nuraga yang berunsur kerohanian, padat dengan mesej mendalam penuh kesedaran seiring dengan kedatangan Ramadan tahun ini.
Memanjatkan rasa syukur, Hael pada masa sama turut menjelaskan Nuraga bukanlah spesifik untuk didengari sepanjang bulan kemuliaan ini.
Sebaliknya ia sesuai menjadi halwa telinga pada bila-bila masa berdasarkan kepada mesej yang diterapkan menerusi single berkenaan.
“Alhamdulillah, syukur rasanya apabila dapat kembali bekerja semula walaupun kita masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB), namun begitu kebanyakan masa lapang ketika ini saya habiskan di studio dengan menyiapkan beberapa projek yang masih belum boleh diumumkan lagi.”
“Demam AJL yang melanda negara telah pun reda, pelbagai rintangan terpaksa kami lalui demi menjayakannya, dan kini tiba masa yang sesuai saya kembali dengan karya terbaru yang diberi judul Nuraga.
“Walaupun single ini dilancarkan dalam waktu terdekat ini, namun ia bukanlah sebuah lagu spesifik ke arah Ramadan dan ia lebih kepada nasihat yang boleh didengar pada bila-bila masa.
“Nuraga bermaksud sifat belas kasihan atau perasaan simpati, ia bertepatan dengan situasi yang sedang kita hadapi sekarang di mana ramai yang sedang menempuh dugaan hidup, dan ada juga yang mengharapkan bantuan atau belas kasihan daripada orang lain yang mampu bagi meneruskan kehidupan.
“Sebenarnya lagu ini telah pun dicipta pada awal tahun 2020 sebelum pandemik COVID-19 lagi bersama rakan komposer, MFMF, mungkin masanya kurang sesuai pada ketika itu, dan pada tahun ini kami nekad untuk melancarkannya,” katanya.
Hael pada masa mengakui lagu berkenaan berbeza dengan lagu-lagu yang pernah dirakamkan.
“Pada single kali ini saya lari dari kebiasaan dan tampil dengan lagu bergenre ala nasyid kerana elemen kerohanian yang ada di dalamnya berserta unsur nasihat agar bersesuaian dengan mood lagu tersebut.
“Ini juga merupakan pengalaman baru buat MFMF kerana beliau tidak pernah menghasilkan lagu sebegini, namun begitu kami berjaya menyiapkan ia seadanya.
“Bagi video muzik (MV) Nuraga pula, ia lebih kepada penyampaian secara lahiriah tanpa sebarang jalan cerita atau apa-apa gimik dan lebih straight forward, jika nak tahu lebih lanjut kenalah tonton di YouTube nanti,” katanya.
Sementara itu, En. Feros Sayna selaku Ketua Label RocketfuelEntertainment menambah, Hael merupakan seorang penyanyi yang kreatif serta tidak pernah jemu untuk mencari idea baru menerusi lagu hasilannya.
“Hael merupakan seorang artis yang sangatkreatif dan sentiasa bekerja keras dalam menghasilkan hit demi hit.
“Saya percaya dengan kekuatan Nuraga dan pasti ia mendapat tempat di hati peminat muzik tanah air kerana ia lain daripada yang Hael pernah hasilkan sebelum ini,” harapnya.
Nuraga boleh dimuat turun serta didengari melalui penstriman atas talian manakala MV lagu Nuraga juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.
Sehingga kini, MV berkenaan sudah pun ditonton hampir 120,000 kali sejak dilancarkan pada penghujung Mac lalu.
Foto: Instagram Hael Husaini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Filem Seram Tumbal Musyrik Bakal Masuk Malaysia
Bakal ditayangkan di pawagam, Tumbal Musyrik merupakan filem pertama terbitan Maxstream Original yang akan ditayangkan di Malaysia selain Thailand, Brunei dan Singapura.
Dalam satu kenyataan, Tumbal Musyrik lakonan Wulan Guritno, Sahilla Hisyam dan Bhisma Mulia ini turut mendapat kerjasama produksi tempatan dan Indonesia, Horizon Film Entertainment, Punnagai Poo Gheetha serta WD Picture.
Produser eksekutifnya, Shahir Sulaiman berkata, dia teruja dan mengharapkan agar Tumbal Musyrik berjaya di pawagam tempatan sementelah jalan cerita dan barisan pelakon yang hebat belaka.
“Saya juga teruja dapat bekerjasama lagi dengan produksi Indonesia apatah lagi, ini filem pertama Maxstream yang akan ditayangkan di Malaysia,” katanya yang turut disertai Rofik Ashari dan Wathin Ciptawan sebagai Produser Eksekutif.
Tumbal Musyrik arahan Faozan Rizal dan Bambang Drias mengisahkan Galang yang terpaksa mengambil jalan pintas dengan ilmu hitam untuk mendapatkan gadis idamannya, Resti sehingga tanpa dia sedar, pelbagai akibat dan peristiwa misteri bakal berlaku.
Kampung yang dahulunya aman kini menjadi tumpahan darah kesan daripada pengikut syaitan Gunung Srandil yang terpaksa melepaskan tawaran. Kejadian demi kejadian semakin membawa kepada hakikat bahawa Galang adalah orang yang bertanggungjawab untuk semua ini.
Filem ini juga bakal ditayangkan di Festival Filem Balinale international pada 9 june depan.
Maxstream Original merupakan platform aplikasi layanan streaming video over-the-top pertama Indonesia yang mula beroperasi pada 2018.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lebih 1,000 Anak Muda ‘Geng Utagha’ Lepak Masjid, Sebelum Bersukan Sertai Kuliah Dengan 3 Agamawan Popular
Tidak dinafikan, agak sukar ketika ini untuk melihat anak-anak muda isi masa atau ‘lepak’ di masjid sebelum menunaikan solat, lebih-lebih lagi ketika pemodenan gajet mendominasi dunia.
Bagaimanapun, situasi tersebut nyata berbeza di Masjid Darul Murtadha, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini apabila lebih 1,000 anak muda terdiri kebanyakannya remaja berhimpun dari pagi hingga malam!
Ini kerana, Yayasan Murtadha Berhad di bawah bimbingan pengasasnya, Ustaz Yaakub Yusra dengan cemerlang dan luar jangka telah menarik minat golongan terbabit menerusi pengisian bermakna Liga Sepak Penalti dan sukan elektronik, Madad E-Football 23 Mobile.
Jelas Ustaz Yaakub, sebanyak 124 pasukan mengambil bahagian dalam Liga Sepak Penalti yang julung-julung kali diadakan itu dan penyertaan memberangsangkan sebanyak lebih 64 peserta untuk e-football.
“Dalam program Lepak Geng Utagha, kami menyasarkan anak-anak muda dan menariknya sebanyak 124 pasukan terlibat dalam Liga Sepak Penalti, terdiri daripada lebih 700 orang peserta.
“Manakala, 64 peserta mendaftar untuk menyertai Madad E-Football 23 Mobile, malah ada yang datang saat akhir untuk menyertai pertandingan kali ini,” katanya.
Melihat kepada situasi ada remaja yang ‘candu’ terhadap dunia media sosial dan gajet, kata Ustaz Yaakub lagi, pihaknya turut menyediakan pendekatan ‘reverse psychology’ untuk melaksanakan program Geng Lepak Utagha ini.
Malah dalam jangka masa panjang, perancangan Ustaz Yaakub adalah mengadakan Liga Sepak Penalti terbesar di Malaysia yang dijangka akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada akhir tahun.
Perancangan itu akan membabitkan lebih 1,000 pasukan dan hadiah terkumpul lebih tinggi.
Pada masa sama, sebanyak tujuh rombongan bas dari beberapa negeri antaranya Pahang, Perak dan Perlis hadir untuk kuliah dhuha di Masjid Darul Murtadha, Murtadha Dakwah Centre.
“Sebelum perasmian bermula, peserta diajak untuk sama-sama terlibat dalam Kuliah Dhuha yang menampilkan barisan tokoh agamawan popular seperti Ustaz Firdaus Firabid, Ustaz Ahmad Yusof Ustaz dan Ustaz Abdullah Khairi.
“Pada sebelah malam pula ada penampilan khas untuk sesi forum bersama bekas pemain bola sepak profesional kebangsaan Malaysia, Baddrol Bakhtiar,” tambahnya lagi.
Masjid sebagai One Stop Centre Program ini juga merupakan inisiatif Masjid Darul Murtadha yang berperanan sebagai One Stop Centre, bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah solat, tetapi juga diperluaskan kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Program ini juga antara kesinambungan penubuhan Kelab Budak Masjid, inisiatif untuk mendekatkan anak muda ke masjid. Melalui program ini, Yayasan Murtadha Berhad memberikan wang sagu hati kepada anak-anak muda yang hadir untuk solat berjemaah di masjid.
Masjid Darul Murtadha juga mengambil iktibar daripada zaman Rasulullah yang memperluaskan peranan masjid kepada pusat aktiviti masyarakat yang dapat mengeratkan ukhwah penduduk sekitar.
Mengambil pendekatan itu, Masjid ini mempunyai hotel kapsul yang memberikan kemudahan kepada musafir untuk berteduh sebelum memulakan perjalanan mereka.
Malah, masjid ini turut menyediakan taman permainan kanak-kanak bagi menggalakkan anak-anak dan ibu bapa mengunjungi masjid.
Masjid Darul Murtadha merupakan sebahagian projek pembangunan Murtadha Dakwah Centre yang meliputi pembangunan rumah warga emas, kompleks tahfiz integrasi dan stadium e-sport, hub sukan sunnah serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah yang dilakukan secara percuma.
Untuk mereka yang mahu mengejar saham akhirat dengan bersama-sama menjayakan penubuhan Murtadha Dakwah Centre, boleh salurkan sumbangan ke akaun rasmi dan boleh rujuk ke laman madadcentre.com.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI