Abang Pengacara Fedtri Yahya Korban Terbaru Covid-19, Al-Fatihah

Share

Pengacara dan personaliti televisyen, Fedtri Yahya berkongsi khabar duka selepas memaklumkan abangnya, Zahari baru sahaja meninggal dunia setelah berjuang melawan Covid-19 sejak beberapa hari lalu.

Perkhabaran tersebut dikongsikan sendiri oleh pengacara program Jejak Rasul itu menerusi sebuah ciapan yang dimuat naik di laman Twitter.

“Dengan berat hati saya ingin memaklumkan abang saya, Zahari, telah kembali ke rahmatullah baru sebentar tadi setelah berjuang dengan #covid19,” tulisnya.

Khabar duka itu nyata mengejutkan ramai pihak terutamanya buat mereka yang mengikuti rapat mengenai perkembangan keluarga Fedtri sejak mereka dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lalu.

Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen turut menzahirkan rasa sedih selain turut menitipkan doa semoga buat Fedtri semoga arwah abangnya itu ditempatkan dikalangan orang-orang beirman.

“Salam takziah buat ⁦‪@fedtriyahya‬⁩ sekeluarga. Semoga arwah kekanda ditempatkan disisi para solihin dan dijauhkan azab kubur. Amiinn.

“Semoga Abang Fed dan sekeluarga tabah, dikurniakan kesabaran dan arwah dicucuri rahmatNya.

“Takziah fed. Moga diberikan ketabahan saat ini.

“Innalillahiwainnalillahirojiun. Salam takziah. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama dengan orang yang beriman. Al fatihah.

“Salam takziah buat semua ahli keluarga. Ya Allah, ampunilah arwah dan tempatkanlah dia dalam kalangan org2 yg soleh. Aamiin,” antara reaksi-reaksi netizen di laman Instagram.

Sebelum ini, bapa dan seluruh ahli keluarga abangnya telah pun dimasukkan ke hospital selepas disahkan dijangkiti wabak Covid-19 pada 20 Julai lalu.

Setakat semalam, angka jangkitan baharu COVID-19 mencatatkan 17,045 kes dalam tempoh 24 jam, rekod tertinggi sejak pandemik ini bermula.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, tambahan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara kini ialah telah pun mencecah lebih satu juta.

Sumber: Twitter & Instagram Fedtri Yahya

Published by
Aizam Manaf