Pelawak Achey bergegas ke lokasi apabila dimaklumkan sebuah lori yang membawa muatan produk wangian, SugarBomb yang dianggarkan bernilai RM100,000 terbalik di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran susur keluar Damansara menghala ke ibu negara, beberapa hari lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, difahamkan lori satu tan bersama pemandu dan kelendan dalam perjalanan dari Bukit Raja, Klang ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebelum salah satu tayar belakang kenderaan itu meletup.
Bagaimanapun, tiada kecederaan berlaku, sebaliknya ribuan produk berterabur dan pecah atas jalan raya.
Malah, video sekitar kemalangan telah dimuat naik Achey menerusi Instagram sehingga mencetuskan tular apabila ditonton hampir 700,000 kali.
Meninjau ke ruangan komen pada entri terbabit, ramai mendoakan yang baik-baik dan tidak kurang memuji keprihatinan bintang itu yang turun ke lokasi kemalangan untuk meninjau situasi meski trafik pada ketika itu agak sesak.
Selaku duta kepada SugarBomb, Achey berkata, atas dasar tanggungjawab, dia tidak kisah meninggalkan komitmen lain apabila mengetahui lori yang membawa muatan produk tersebut terlibat nahas.
“Sehari sebelum kemalangan, satu kontena produk SugarBomb terbakar di Sarawak, ia disusuli pula dengan kejadian ini. Syarikat SugarBomb tentulah mengalami kerugian besar, namun hal tersebut juga disifatkan sebagai ujian bulan Ramadan.
“Saya memuat naik video kemalangan bukannya sengaja mahu menarik perhatian, sebaliknya saya memerlukan doa orang ramai. Bagaimanapun, saya tidak menyangka video berkenaan tular.
“Saya sendiri terkejut apabila tiba ke lokasi kemalangan, produk berterabur dan bau harum semerbak atas jalan raya. Tidak dinafikan, banyak produk pecah dan rosak, tetapi masih ada yang boleh diselamatkan,” katanya.
Achey pada masa sama turut menjelaskan, dia tidak mahu sekadar bergelar duta yang hanya menunggu imbuhan setiap bulan. Selagi ada masalah melibatkan jenama itu, dia cuba membantu apa yang termampu.
“Memang saya tak mampu nak hulur duit bantu ganti rugi, tetapi saya percaya, sokongan dan semangat perlu diberikan dalam keadaan ditimpa musibah.
“Saya sanggup menaiki motosikal bersama isteri dan anak bergegas ke lokasi kejadian. Sebab saya tahu, jalan raya pasti sesak apabila lori terbalik. Memang betul tekaan saya, jalan raya sesak dan petugas SugarBomb bertungkus lumus mengutip produk yang berterabur atas jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran SugarBomb, Mohammad Syafiq Yon Afrizal berkata, lori yang membawa muatan barangan dalam perjalanan ke PWTC untuk menghantar produk wangian badan, penyegar udara dan wangian rumah bagi satu acara yang dijadual berlangsung, keesokannya.
“Kami bersyukur pemandu dan kelendan lori tidak mengalami kecederaan, biarpun sebahagian produk rosak dan bertaburan atas jalan raya.
“Agak malang apabila tayar belakang lori meletup hingga menyebabkan pemandu hilang kawalan, sebelum terbalik di lorong kanan. Acara disertai tetap diteruskan, produk rosak terpaksa digantikan dengan yang lain,” katanya.