Pelakon Hairul Azreen mengakui ada menerima tawaran berlakon dari produksi luar negara selepas kejayaan membintangi filem aksi, Wira tahun lalu.

Hairul bagaimanapun menjelaskan, dua tawaran yang diterima daripada dua individu terkenal itu terpaksa dilupakan susulan penularan pandemik Covid-19.

“Selepas membintangi filem Wira, saya menerima dua tawaran berlakon filem luar negara. Saya sudah pun bertemu dengan seorang pelakon aksi daripada Amerika Syarikat namun hasrat terbabit terhenti kerana penularan Covid-19.

“Begitu juga dengan tawaran daripada seorang pengarah dari United Kingdom. Akan tetapi, saya tidak ralat atau bersedih, sebaliknya saya anggap belum rezeki untuk mencuba nasib bina nama ke luar negara,” katanya.

IKLAN

Menurut Hairul, dia mengakui menyimpan impian besar untuk melebarkan sayap ke Hollywood satu hari nanti.

“Saya sudah lama menyimpan keinginan untuk melebarkan sayap ke Hollywood. Namun tawaran itu belum ada. Lagipun bukan mudah untuk tempa nama di sana.

“Saya mahu mewakili Malaysia sebagai pelakon aksi yang berkebolehan untuk menjayakan babak pertarungan.

“Boleh dikatakan hampir setiap negara Asia mempunyai pelakon aksi yang berjaya ke pentas antarabangsa, jadi saya pun nak harumkan nama Malaysia, insya-Allah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hairul turut mencipta satu kejayaan berbeza apabila membintangi filem Pasal Kau! yang ditayangkan menerusi platform penstriman video berbayar, Netflix.

Filem romantik komedi itu turut berjaya menduduki tangga teratas carta 10 filem Malaysia di Netflix untuk beberapa hari sejak ditayangkan pada 1 Oktober lalu.