Hiburan

“…Ada Apek & Harith, Kenapa Tak Letak Seorang Otai Perempuan?” – Didie Alias Nafi Dengki Dengan Anna Jobling

Share

Pelakon dan pelawak, Didie Alias menafikan dirinya iri hati dengan keputusan pihak stesen tv yang melantik pelakon jelita, Anna Jobling sebagai salah seorang juri untuk program Muzikal Lawak Superstar (MLS) musim ke-4.

Menurut Didie, dia faham kedudukan Anna di posisi berkenaan adalah untuk menaikkan nilai komersial namun, pengalaman yang dimiliki pelawak-pelawak wanita di negara ini tidak harus diketepikan.

“Saya memberikan komen daripada sudut penonton dan netizen. Ramai yang kata saya dengki tapi sebenarnya tidak. Saya faham pihak stesen tv meletakkan Anna sebagai juri untuk menaikkan nilai komersial.

“Namun, apa gunanya kami sebagai pelawak wanita? Malah, saya juga pernah dianugerahkan sebagai pelawak wanita paling popular oleh stesen tv berkenaan.

“Kenapa kami tidak pernah dipanggil untuk duduk di kerusi tersebut?,” katanya kepada MH.

Pelakon drama Presiden Kampung Morten itu berkata sedemikian ketika ditemui di
majlis pengumuman malam kemuncak Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-36, baru-baru ini.

Pada masa sama, Didie turut mempersoalkan keputusan pihak penerbit yang meletakkan Anna sebagai juri tetapi hanya berperanan mewakili suara penonton.

“Mereka memaklumkan tugas Anna adalah wakil suara penonton. Kalau penonton, baik duduk rumah sahaja. Tak payah jadi juri. Namun, saya faham hal ini berkait dengan rating.

“Untuk otai lelaki, kita ada Apek dan Harith Iskander. Kenapa tak letak seorang otai perempuan? Saya nampak trend ini sejak Raja Lawak 1.

“Kalau bukan saya sekali pun, kita ada pelawak wanita seperti Sharifah Shahirah, Rosnah Mat Aris, Nur Khiriah, Jihan Muse dan Sheila Rusli. Mereka semua pelawak yang ada ilmu,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada Didie akan menerima pelawaan program berkenaan sekiranya diundang sebagai juri jemputan, ini respon pelawak berusia 52 tahun itu;

“Saya okay dan tiada masalah. Boleh sahaja nak duduk sebelah Anna pun. Saya hanya nak berkongsi ilmu. Saya juga nak jadi wakil suara untuk rakan-rakan seangkatan saya.

“Kebanyakkan mereka harus berniaga kerana kurang tawaran dalam bidang seni. Jika beri mereka peluang, setidaknya mereka ada rezeki.

“Saya tiada masalah itu kerana saya ada bisnes sendiri dan sering kali dijemput untuk menjadi hos. Jangan nanti dah terlambat baru kita nak bagi ‘Anugerah Kembara’ atau ‘Anugerah Sepanjang Zaman’,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, Didie turut menasihati Anna untuk mempersiapkan mental sekiranya dikritik netizen ketika minggu pertama nanti.

“Tahap Harith Iskander sudah terlalu tinggi sehingga pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa. Apek pula, seperti semua tahu, dia adalah bintang paling popular.

“Kalau dia bijak untuk menyampaikan komen, dia akan nampak bagus. Namun, kalau dia tak boleh nak menyamai tahap kedua-dua juri ini, bersiap sedia dengan komen netizen,” akhirinya.

Sebelum ini, Didie ada meninggalkan komen di media sosial mempersoalkan pelantikan Anna sebagai salah seorang juri tetap MLS4.

Komen tersebut kemudiannya mendapat respon pelbagai daripada netizen.

Dalam perkembangan lain, Didie telah diberikan tanggungjawab untuk menjadi hos bagi acara berprestij Anugerah Bintang Popular ke-36 bersama dua lagi gandingannya iaitu Hanif Hamzah dan Riena Diana.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf