Pempengaruh dan usahawan, Hafiz Mahamad tidak menafikan anak muda berusia bawah 25 tahun menjadi golongan paling ramai yang terbelenggu dengan hutang hingga ada yang mencecah angka jutaan ringgit.
Pengasas produk kecantikan Ainaa Beauty ini menambah, kebanyakan mereka terpengaruh dengan janji manis seterusnya terjebak dengan sistem pengurusan syarikat tertentu yang secara tidak langsung memperalatkan mereka.
“Sempena kempen Malaysia Baru, Peluang Perniagaan Baru, kita nak mendidik masyarakat supaya mereka ada minat berniaga sebab masyarakat kita terutamanya anak-anak muda dah hilang minat berniaga kerana sikap orang kaya dan pemilik perniagaan yang menindas mereka.
“Penindasan itu bermaksud mereka dijanjikan bulan bintang, ada antara mereka tak cukup modal berniaga. Ada sesetengah organisasi mengajar mereka untuk meminjam duit.
“Ada juga yang berhutang dengan ah long, buat pinjaman bank dan saudara mara, demi kepentingan HQ untuk ‘ambil’ modal mereka. Itu jalan salah!
“Sepatutnya mereka mula berniaga dengan modal tertentu dahulu, kemudian barulah diajar tentang pengurusan dan sebagainya. Disebabkan mereka terlalu percaya, hutang meninggi tapi stok tak berjalan,” katanya.
Hafiz ditemui pada majlis Briefing & Chillin’ with AINAA di Marriott Putrajaya baru-baru ini yang turut disertai isterinya, Syafiqah Aina.
Dalam pada itu, dia dan pasukannya sering dipertemukan dengan anak-anak muda yang meminta bantuan untuk keluar dari bebanan.
Malah, ada yang pernah tersilap langkah merancang ekonomi sehingga terikat dengan hutang dan pinjaman tidak bertauliah serta menjadi mangsa diperalatkan oleh pengasas produk tempatan.
“Ramai anak muda berhenti berniaga, tak berjaya dan dikelilingi hutang. Ada yang dah bankrap di usia muda.
“Ramai yang datang pada kami sampai ratus ribu hutang, mereka diajar berhutang dengan ah long!
“Kalau selama ini kita mendengar orang yang meminjam ah long berumur 30 tahun ke atas, tapi sekarang ni apa komitmen hidup mereka golongan muda untuk berhutang dengan ah long?
“Adakah mereka berkeluarga? Susah? Tidak… mereka masih belajar. Ini bermakna mereka dipergunaalatkan oleh sistem perniagaan yang salah,” jelasnya lagi.
Justeru kempen ‘Malaysia Baru, Peluang Perniagaan Baru’ berobjektifkan untuk memacu masa depan ekonomi negara dan kestabilan kewangan golongan B40 muda.
Dalam kempen sama, Hafiz menyeru anak muda yang ingin menjana pendapatan melalui sistem ejen atau stokis, untuk lebih cakna dalam memilih jenama yang mempunyai wawasan serta visi di masa hadapan seperti AINAA Beauty.
Setelah hampir enam tahun menempa nama menggunakan sistem ejen dan stokis yang telus dan bersih, AINAA Beauty telah berjaya melahirkan lebih dari 3,000 orang usahawan bersama pasukan pengurusannya serta dibantu oleh 10 orang stokis terbesar dalam komuniti mereka yang kini mempunyai empayar perniagaan yang stabil dan berwawasan.
Dalam pada itu, Hafiz juga tersenarai sebagai antara lima calon akhir bagi kategori Influencer Tergempak Anugerah Gempak Most Wanted 2022 anjuran Gempak.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.