Pelakon Abby Abadi mendedahkan usia anak bongsunya kini sudah mencecah usia 63 hari. Sambil merakamkan rasa syukur, bintang Gerak Khas itu turut memaklumkan bayi lelaki yang diberi nama Muhammad Danial Firman Faizal itu sudah pun mempunyai berat 1 kilogram.
Perkongsian tersebut dikongsikan Abby menerusi Instagram miliknya, awal semalam.
“Muhammad Danial Firman Faizal, tepat 12 tengah malam (28 November 2019) dah 63 hari usia baby D kita. Syukur Alhamdulillah.
“Terima kasih Allah, maaf sebab tak kerap sangat update pasal Baby Danial, takut tersalah info.
“Malam ni ada sedikit yang saya boleh kongsikan tentang Baby D. Ada berita gembira dan ada berita sayu,” tulisnya.
“Yang gembiranya ialah beratnya dah 1 kilogram dan yang sayunya, Baby D masih bergantung pada bantuan mesin untuk bernafas. 83 peratus…
“Saya dah lama tengok yang tu. Sebab sibuk nak tahu berat badan dengan susu yang diperlukan je. Suami yang perasan peratusan tu tadi.
“Banyak lagi isu lain yang memilukan sebenarnya, cuma saya berserah segalanya kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa atas segala. Sudah pasti Dia Maha Tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
“Mohon dia berterusan ya sahabat di sini untuk Baby Muhammad Danial Firman Faizal kami. Doakan Baby D terus kuat dan bertahan hingga berada dalam pelukan Mama dan Abahnya, amin,” tulis Abby panjang lebar.
Terdahulu, Abby melahirkan Danial pada 27 September lalu di Hospital Sungai Buloh secara pembedahan. Bayi yang dilahirkan secara pra-matang itu lahir dengan berat 535 gram sahaja ketika itu.
Foto: Instagram Abby Abadi