Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Di Ombak Resah, Ashira mendedahkan, dia kini menumpang di rumah kakaknya selepas terpaksa keluar dari rumah sewa sehari selepas mendapat berita layak menyertai Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7).
Dalam sebak, Ashira, 35, terpaksa akur dengan permintaan pemilik rumah sewanya setelah dia gagal membayar duit sewa sebanyak RM1,200 selama enam bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.
“Tuan rumah minta saya keluar. Bukan saya tidak bayar langsung, tetapi saya bayar sekadar yang termampu.
“Yang termampu saya tu, saya cuma dapat bayar RM100, kadang-kadang saya cuma ada RM50. Itu saya yang saya mampu nak bayar… Itulah selama 6 bulan tu, dengan apa yang saya raih menerusi Bigo dan kerja-kerja lain.
“Ada juga yang cadangkan saya jual popcorn atas talian, tapi tak jalan. Genap enam bulan dia minta saya untuk keluar. Apa pun, saya tidak menyalahkan tuan rumah kerana faham situasi.
“Hari ini (22 September) hari terakhir saya untuk serahkan kunci. Seperti yang saya selalu cakap perkara ini terjadi secara tiba-tiba. Allah bagi rezeki lain, tetapi pada masa sama dia turunkan ujian,
“Dalam tempoh tersebut saya sebenarnya sudah tidak kuat dan ada mengadu dengan pihak pengurusan” jelasnya.
Lima tahun bergelar ibu tunggal, Ashira atau nama sebenarnya, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, turut menambah ketika ini dia terpaksa duduk berasingan dengan anak, Megat Shazril Haziq Hadi, 14.
“Buat sementara waktu, saya menumpang di rumah kakak tapi terpaksa berpisah dengan anak saya.
“Dia tinggal di rumah kakak saya lagi seorang sebab rumah yang kakak yang saya diami ini juga punya keluarga yang besar,” jelas Ashira yang sebolehnya tidak mahu melibatkan anaknya dalam masalah yang dihadapi.
Terdahulu, Ashira ditemui pada sidang media memperkenalkan 14 peserta program Gegar Vaganza 7 di Envi Skydining, Aras 36, Menara Ta One, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI