Pelakon, Fatin Afeefa menafikan pernah melakukan perkara tak senonoh di tempat awam, iaitu bercium dan berpelukan di tempat awam dengan seorang lelaki berstatus suami orang seperti yang didakwa netizen.
Kontroversi mengenai perkara tersebut ditanya oleh salah seorang pengikutnya di Instagram yang membayangkan bintang Geng Mak-Mak itu ada melakukan perkara tersebut di sebuah pusat membeli-belah popular.
Komen tersebut antara lain turut bertanya sama ada individu yang turut merengek meminta dibelanja kaca mata mahal adalah dirinya.
Tidak hanya berdiam diri, Fatin dilihat ada meninggalkan komen balas.
Fatin menjelaskan, dia jarang berkunjung ke pusat beli-belah terkenal seperti yang diperkatakan.
“Saya adalah manusia yang paling jarang ke pusat beli-belah KLCC. Tetapi, tidak mengapa kerana lebih banyak fitnah saya terima, lebih banyak pahala yang saya dapat.
“Saya menikmati setiap apa yang dilalui kini dan menyerahkan kepada orang di luar sana untuk menjalankan kerja,” jawab Fatin.
Terdahulu, MH ada cuba menghubungi ibu kepada dua cahaya mata ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut, bagaimanapun gagal apabila Fatin tidak menjawab teks dan panggilan.
Tular sejak semalam, Fatin didakwa sekali lagi kantoi curang apabila menjalinkan hubungan dengan suami orang dan kisah kecurangan berkenaan dikatakan telah dibongkar sendiri oleh isteri lelaki terbabit menerusi Twitter.
Fatin pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Adam Shahz, pada 21 Disember 2013.
Mereka kemudiannya bercerai talak satu pada 20 Mei 2017 dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya Ivy Herra Sophia.
Wanita ini turut mempunyai seorang anak lelaki, Adam Aisy Arrian menerusi perkahwinan terdahulu.
Foto: Instagram Fatin Afeefa