Syarikat pengurusan dan rakaman, Leo Music Empire optimis dengan menampilkan enam bakat baharu yang sekaligus mengutamakan bakat nyanyian dan personaliti berbanding paras rupa.
Pengarah Leo Music Empire, Nour Shue berpendapat, individu yang sekadar menjual rupa paras dalam dunia seni tidak boleh bertahan lama dalam industri seni sekiranya tidak mempunyai bakat dan disiplin dalam kerjayanya.
“Sekarang terlalu ramai penyanyi yang hanya mengutamakan rupa semata. Saya tidak melihat itu, apa yang penting bakat. Ya, rupa paras yang cantik atau tampan itu bonus tetapi saya mencari bakat.
“Selain itu, disiplin dan personaliti diri juga memainkan peranan penting. Ada sahaja yang boleh menyanyi, ada rupa tetapi disiplin ke laut. Tak mahu dengar nasihat dan sudah berlagak diva sebelum berjaya.
“Kita mempunyai ramai penyanyi yang baik tetapi tidak tahu ke mana ingin mengembangkan bakat. Ditambah dengan stigma tertentu, ruang dan peluang mereka kabur. Sebab itu saya berani ambil risiko,” katanya.
Nour Shue berkata demikian pada majlis pelancaran single baharu enam artis di bawah naungan syarikat rakaman dan pengurusan tersebut.
Nor Shue menambah syarikat berkenaan juga mempunyai perancangan dan strategi khusus bagi mengetengahkan barisan penyanyi di bawah pengurusannya.
“Semestinya ada perancangan untuk kami ketengahkan bakat mereka secara mainstream. Semua itu disusun berperingkat. Kami tidak mahu terlalu terburu-buru. Biar lambat tetapi impaknya ada.
“Saya tidak mahu mereka digelar artis mi segera. Dikenali dengan satu lagu, selepas itu sepi terus menghilang. Biarlah mereka terus berusaha dan kekal dengan sikap tidak mudah mengalah itu,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai pemilihan bakat baharu, Nour Shue menjelaskan enam penyanyi tersebut dipilih berdasarkan kelebihan dan keistimewaan mengikut suara serta vokal yang dipadankan dengan lagu yang sesuai.
“Mereka semua melalui sesi uji bakat dan dilatih terlebih dahulu sebelum melancarkan single pertama. Genre setiap mereka juga berbeza. Ikut kesesuaian vokal dan suara.
“Saya juga memberi kebebasan untuk mereka mengutarakan kehendak dan keinginan. Dari situ, kita akan menyuaipadan dan memilih lagu yang tepat,” katanya.
Enam artis yang ditampilkan ialah Ammar Anuaar, Arghpiez, Queen Zara, Azs Azfa, Wawa Wahida dan Kelana Akira.
@mediahiburanofficial Ini dia barisan artis Leo Music Empire; Ammar Anuaar, Azs Azfa, Queen Zara, Arghpiez dan Wawa Wahida, termasuk Kelana Akira yang bakal melancarkan single tidak lama lagi. Masing-masing ada bakat, vokal mereka juga baik. Setuju tak? #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan
Ammar Annuar meluncurkan single pertamanya berjudul Sepi pada 17 November lalu sementara Arghpiez memilih untuk memperjuangkan genre rap dan hip-hop, berjudul Setiap Malam pada 22 Disember lalu.
Sementara itu, Queen Zara tampil dengan naskhah berjudul Masihkah Ada Waktu Itu bakal meluncurkan single pada Januari depan.
Azs Azfa yang juga guru muzik pula berani mengetengahkan muzik bergenre jazz blues menerusi lagu Yang Ku Perlu.
Seterusnya, Wawa Wahida bakal memeriahkan dunia seni menerusi lagu berjudul Seperti yang akan diluncurkan pada Januari depan dan penyanyi asal Sarawak, Kelana Akira juga akan mempromosikan single berjudul Cerita.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini