Bagi yang mengetahui kumpulan duo Sleeq, pasti mengenali dengan penyanyi Alyph yang kini memilih untuk bergerak sebagai penyanyi solo, sejak beberapa tahun lalu.
Lalu rapper dan penerbit ini menambah, dia mengakui tidak berapa gemar untuk berkongsi hal peribadi, termasuk pengalamannya yang pernah mengalami masalah kesihatan mental.
Jelas penyanyi berusia 31 tahun ini lagi, dia memilih untuk menyimpan hal sedemikian secara privasi.
“Ada banyak benda yang telah terjadi dalam hidup saya, walaupun saya rasa benda tersebut sudah tidak ada lagi, namun ia kadang-kadang membuatkan saya untuk terus fikirkan perkara sebelumnya.
“Saya cuba sedaya upaya untuk tidak terlalu terbuka untuk bercerita kerana mahu orang kenal melalui muzik saya.
“Bukannya sisi lain atau cerita saya,” katanya yang baru sahaja melancarkan single terbaru berjudul Adakah Engkau Mendengar?.
Single terkini dari bintang kelahiran Singapura ini mengisahkan mengenai soal penyalahan pengunaan dadah serta masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
“Setelah pelbagai cabaran yang saya lalui dalam hidup, tidak dinafikan lagu ini memang begitu dekat diri saya.
“Dalam erti kata lain, ada ketika rasa diri ini seolah-olah keseorangan atau erti kata lain sepi.
“Oleh itu saya mengambil masa yang agak lama iaitu tempoh setahun untuk keluarkan lagu ini kerana prosesnya bukanlah satu hal yang mudah.
“Jadi sebab itulah, menerusi Adakah Kau Mendengar? ini, ia sudah cukup untuk menceritakan apa yang saya lalui dan mungkin situasi sama turut dihadapi orang lain juga,” katanya yang kali terakhir merakamkan single buat selamanya lebih tiga tahun lalu.
Single Adakah Kau Mendengar? boleh didapati di semua platform muzik utama sementara video muzik rasmi boleh ditonton di saluran VEVO ALYPH.