Pelakon dan penyanyi, Danny menganggap hasrat peminat untuk menyaksikan X-Factor untuk kembali bersatu atau membuat kemunculan semula agak sukar untuk direalisasikan.
Mengakui pernah dipelawa untuk menyertai program realiti, Gegar Vaganza, Danny atau nama sebenarnya Mohd Kardanie Anwa memaklumkan beberapa anggota kumpulan tersebut kini sibuk dengan urusan masing-masing.
Katanya lagi, dia juga kurang yakin X-Factor mampu melangkah jauh jika bertanding di program berkenaan.
“Pada saya, X-Factor sudah tiada lagi. Sebelum ini, X-Factor memang ada dapat tawaran untuk sertai GV. Bila telefon Fendi dan Ivan, mereka tak boleh nak berikan komitmen.
“Shah memang teruja untuk X-Factor buat comeback. Kalau setakat tiga orang sahaja, rasanya tak payahlah. Dua kali GV jemput kami. Salah satunya ketika musim bersama Elite.
“Nak lagi ke orang tengok kami? Takut buang masa pula nanti. Minggu pertama sudah terkeluar. Kami bukan X-Factor seperti dahulu lagi,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, Danny turut mendedahkan keakraban X-Factor ini tidak sama seperti kumpulan boyband yang lain kerana sejak daripada awal kemunculan, mereka hanya akan bersama ketika ada jemputan persembahan atau projek album sahaja.
“Sebenarnya, kumpulan kami ini tidak seperti kumpulan Ruffedge. Mereka sudah bersama sejak daripada zaman underground lagi. Kami pula KRU yang kumpulkan.
“Ketika zaman X-Factor masih aktif, selepas sahaja persembahan, semua buat hal sendiri termasuk saya. Saya pun tiada nak bercampur dengan ahli lain.
“Bila nak buat persembahan, barulah kami berkumpul selama seminggu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Danny akui agak sukar untuk mengumpulkan semula kesemua anggota X-Factor yang lain memandang mereka kini semua sudah mempunyai komitmen peribadi.
“Kalau nak buat X-Factor junior mungkin boleh. Saya memang ada perancangan nak mencari anggota baharu.
“Zack dan Fendi pun kini sibuk dengan hal masing-masing. Yang masih nak teruskan hanya Shah dan Ivans.
“Kalau Ivan pula, dia kini sudah sibuk dengan band muzik Cina. Mereka mainkan muzik rock dan sangat aktif,” katanya.
Sekadar informasi, selain Danny, kumpulan X-Factor turut dianggotai oleh Fendi, Zack, Shah dan Ivan.
Kumpulan yang ditubuhkan KRU Records pada tahun 1999 itu pernah mencipta sensasi menerusi lagu-lagu hits seperti Sehangat Api, 7231564, Akhir Hayatku dan Kau Tetap Nombor Satu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI