“Ada Menjemput Syafiq Farhain Untuk Sama-Sama Menjayakan Konsert Istimewa Buat Arwah Bapanya,” – Juriah Bachok, Balu Allahyarham Saleem

Share

CEO Salju Entertaiment, Juriah @ Julia Bachok mengakui pihaknya ada menjemput anak Allahyarham Saleem, Syafiq Farhain bagi turut sama menjayakan Konsert Suara Emas Satu Kesan Abadi.

Konsert yang akan dilangsungkan pada 6 Oktober, jam 8.30 malam itu bertempat di Panggung Asia, Kuala Lumpur.

“Memang kami ada menjemput Syafiq Farhain untuk sama-sama menjayakan konsert istimewa buat arwah bapanya ini.

“Saya tidak akan ketepikan dia. Dia anak Allahyarham Saleem dan doakan agar perjalanan konsert tersebut dipermudahkan, insyaAllah,” katanya yang juga merupakan balu kepada penyanyi legenda berkenaan.

Terdahulu, Juriah ditemui media pada majlis pelancaran konsert Tribute to Saleem Suara Emas Satu Kesan Abadi di Panggung Asia, Kuala Lumpur.

Turut diadakan pada sesi tersebut ialah pertandingan karaoke yang disertai ahli kelab peminat Allahyarham Saleem yang mana kesemua lagu dipersembahkan adalah seleksi lagu dari Allahyarham.

“Pertandingan nyanyian diadakan bagi menunjukkan rasa penghargaan dan sejujurnya penyertaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa peminat arwah masih lagi ada.

“Malah nama pemenang juga akan kami umumkan pada malam kemuncak konserti nanti dan hadiah berupa wang ringgit antara yang ditawarkan,” jelasnya lagi.

Pada masa sama, sebahagian dari hasil kutipan Konsert to Saleem Suara Emas Satu Kesan Abadi juga difahamkan turut diagihkan kepada badan kebajikan.

“Malah ada amaun yang telah pihak kami telah peruntukan untuk diserahkan kepada mana-mana badan kebajikan terpilih, InsyaAllah.

“Pada malam itu nanti, 100 peratus lagu yang akan dipersembahkan adalah lagu-lagu dari Saleem sahaja, tiada lagu daripada penyanyi lain.

“Ia dirasakan langkah yang baik bagi memberi apresiasi kepada insan legenda yang telah pergi meninggalkan kita semua.

“Kami juga percaya Allahyarham masih mempunyai peminat dan ada di antara rangkaian lagu-lagunya malar segar yang menjadi siulan peminat dari pelbagai peringkat usia,” katanya.

Panggung Asia mampu memuatkan lebih 400 penonton dan harga tiket yang dikenakan bersempena konsert tersebut adalah RM150 seorang atau RM1,500 satu meja.

Setakat ini, dua artis terkenal yang turut terlibat bagi menjayakan konsert tersebut ialah Shima dan Zaiton Sameon. Sebagai kelainan, dua bintang hebat ini juga bakal menyanyikan lagu dari Allahyarham Saleem.

 

Published by
Rafiq Mazlan