Hiburan

“Ada Orang Tak Puas Hati, Kata Saya Fitnah,”- Dikritik Sebab Dedah Trend Graduasi Di Hotel, Andrea Abdullah Beri Respon

Share

Selepas membuat pendedahan mengenai trend sekolah yang mengadakan majlis graduasi di hotel, pelakon, Andrea Abdullah menafikan dakwaan tersebut berbaur fitnah.

Menurut Andrea, luahannya merupakan keluh kesah daripada para ibu bapa termasuklah daripada kalangan keluarganya sendiri.

“Ada orang tak puas hati. Katanya saya buat fitnah dan buat kenyataan tanpa usul periksa. Sedangkan, kalau anda lihat di ruangan komen, berapa ramai yang kata saya betul.

“Ramai yang kongsikan pengalaman mereka. Orang yang tak puas hati itu, tak baca komen ke? Takkanlah saya nak buat cerita bukan-bukan. Mana boleh nak bagitahu sekolah mana, nanti saya kena saman.

“Yang melatah itu, kenapa terasa? Kalau tak makan cili, tak makan pedas. Ramai mengadu dekat saya. Malah, ada sesetengah sekolah tu, bayarannya lebih mahal. Sekolah rendah dan tadika pun sama,” katanya.

Respon tersebut dikongsikan sendiri oleh Andrea menerusi laman Instagram.

Katanya lagi, dia turut mendapat maklum balas daripada golongan guru yang turut tidak bersetuju untuk mengadakan majlis graduasi secara besar-besaran.

“Kalau saya tak bersuara, saya risau ia semakin menjadi-jadi. Ia turut berlaku di negeri-negeri lain. Bukan sekolah swasta tapi kerajaan.

“Ramai juga golongan guru yang turut memberikan komen mengatakan mereka juga tidak bersetuju. Tapi apakan daya, mereka hanya guru. Cakap lebih nanti takut kena tindakan.

“Ada yang kata, inilah masanya rakyat marhain nak merasa makan di hotel. Yang buka mulut tu, anak ramai ke? Gaji tinggi sedaplah nak bercakap. Yang anak ramai dan komitmen tinggi ni, meninggal la,” ulasnya lagi.

Dalam pada itu, ibu kepada seorang cahaya mata ini turut menafikan dirinya mempunyai niat untuk sengaja memburuk-burukkan institusi sekolah

“Saya tiada niat nak memburukkan nama guru atau jatuhkan martabat sekolah. Tak semua guru besar buat perangai macam tu.

“Saya cuba menjadi suara buat para ibu bapa yang mungkin malu nak suarakan atau rasa tertekan dengan situasi ini.

“Saya rasa perkara ini patut dihentikan kerana duit itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih baik. Walaupun untuk kenangan, ada cara yang lebih baik,” akhirinya.

Terdahulu, isu majlis graduasi sekolah yang diadakan di hotel telah pun mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan majlis graduasi sekolah diadakan secara sederhana, namun meriah dan penuh penghargaan bagi meraikan semua pelajar.

Katanya lagi, perbincangan dengan ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah masing-masing adalah asas kepada majlis graduasi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Andrea Abdullah

Published by
Aizam Manaf