Hiburan

“Ada Rasa Berdebar…,” – Amy Sedia Botakkan Kepala, Serah Jiwa & Raga Tunai Haji

Share

Penyanyi Datuk Amy Search menzahirkan rasa syukur apabila terpilih menjadi antara tetamu Allah SWT untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Menurut Amy, dia dan isteri sudah pun membuat persiapan dan akan berangkat pada awal Jun nanti.

“In sha Allah, saya dan isteri akan berangkat menunaikan ibadah haji tahun ini. Sebenarnya saya sepatutnya berangkat selepas fasa PKP lalu tapi ada masalah berkaitan Visa.

“Alhamdulillah urusan tahun ini dipermudahkan. Saya akan berangkat pada 6 Jun nanti,” katanya kepada MH.

Pada masa sama, penyanyi lagu Isabella ini juga berharap agar segala urusannya ketika di Tanah Suci nanti dipermudahkan.

“Saya memang ada rasa berdebar sebab umrah saya sudah biasa pergi. Tapi kali ini ibadahnya juga berbeza. Jadi saya dan isteri sudah pun membuat persiapan.

“Saya akan menyerahkan seluruh jiwa dan raga saya dan diharapkan agar segala urusan saya dipermudahkan. Saya tahu suasananya akan pasti berbeza.

“Saya harapkan selepas pulang nanti, Allah memberikan perjalanan yang lebih indah dan baik buat kehidupan saya,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai antara doa-doa yang akan dipanjatkan ketika di sana nanti, ini jawab Amy;

“Sudah pasti saya akan mendoakan buat keluarga dan anak-anak agar kehidupan mereka sentiasa dipermudahkan.

“Malah saya juga akan menitipkan doa buat kawan-kawan, saudara mara dan para peminat.

“Semoga satu hari nanti mereka juga akan dijemput ke sana,” katanya.

Pada masa sama, Amy turut memaklumkan dirinya memang sudah bersedia untuk membotakkan kepalanya yang juga merupakan antara amalan sunnah ketika menunaikan haji.

“Antara perkara yang saya nak buat adalah untuk mencukur kepala saya. Sebab itu memang antara amalan di sana.

“Ini bukan kali pertama saya cukur kepala. Dua kali saya pergi umrah, kedua-duanya saya cukur kepala walaupun rambut saya panjang ketika itu,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.