
Pelakon Imran Aqil memaklumkan isterinya yang juga pempengaruh media sosial, Dahlia Rizal kini sedang hamil cahaya mata pertama.
Menurut Imran, isterinya kini berada dalam keadaan baik dan dia turut berharap agar para peminat dapat menitipkan doa-doa yang positif.
View this post on Instagram
“Alhamdulillah, isteri dan kandungannya berada dalam keadaan baik. Saya pun tak tahu sama ada nak merahsiakannya lagi atau tidak. Orang luar pun dah boleh nampak terutamanya pada bahagian baby bump.
“Pada satu masa, sebagai orang yang dikenali, saya merasakan kami tak perlu sorok lagi berita ini. Semoga anda semua dapat doakan yang terbaik,” katanya kepada MH.
Pelakon filem Soloz: Game Of Live itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media kempen Ramadan Raya Astro, baru-baru ini.
Katanya lagi, dia dan isteri mempunyai asalan tersendiri mengapa mereka tidak terlalu berkongsi soal kehamilan sebelum ini.
“70 peratus daripada kehidupan kami memang ditunjukkan di media sosial. Jadi, selebihnya saya berharap para netizen dapat menghormati keputusan kami untuk menjaga privasi terhadap sesuatu perkara.
“Berdasarkan pengalaman keluarga, ada juga kandungan yang tidak menjadi. Jadi, kami lebih selesa untuk berdiam diri dalam hal ini,” ujarnya.
Dahlia Pengsan Di Kedai Makan
Dalam pada itu, Imran turut berkongsi detik cemas saat isterinya pengsan dan perlu menerima rawatan di hospital.
“Baru-baru ini, jika ada yang tahu, Dahlia telah dimasukkan ke hospital. Salah satu faktornya adalah disebabkan kekurangan darah dan gula. Dia pengsan di restoran.
“Ketika itu, saya tiada bersama Dahlia kerana ada urusan kerja di Seremban. Alhamdulillah keadaannya baik-baik sahaja. Namun, ketika ini dia perlu memakai alat sensor jantung,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, adik kepada pelakon Nabil Aqil turut memaklumkan dia dan isteri kini merangcang untuk mencari rumah yang lebih besar sebagai persediaan untuk menyambut kelahiran cahaya mata sulung.
“Buat masa sekarang, kami sedang mencari rumah yang lebih besar. Kami nak meraikan kehadiran cahaya mata dengan suasana yang lebih selesa,” akhirinya.
Sekadar informasi, Imran dan Dahlia telah mendirikan rumah tangga pada 9 September 2023 selepas setahun mengikat tali pertunangan.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI