“Ada Sebab Kenapa Saya Pilih Kawasan Bukan Melayu,” – Fikry Ibrahim Tepis Dakwaan Melayu ‘Kuat Dengki’

Share

Menepis persepsi kurang baik terhadap kedai gunting rambut miliknya, Hairfeeks Babershop yang dibuka di penempatan majoriti bukan Melayu, pelakon Fikry Ibrahim menjelaskan ia tiada kena mengena dengan soal sihir atau dengki yang berlegar di budaya masyarakat Melayu sejak sekian lama.

Sebaliknya, sasaran utama pemilihan lokasi di Setapak, Kuala Lumpur itu adalah bagi mencuba pasaran bukan untuk pelanggan bukan Melayu.

Malah jelasnya kepada MH, kedudukan kedai yang bersebelahan dengan salon lain juga bukanlah sesuatu yang harus dibimbangkan.

Saya memilih kawasan bukan Melayu kerana bukan mudah mahu menawan pasaran mereka. Walaupun kedai kami bersebelahan dengan kedai lain, namun harga yang kami tawarkan adalah lebih murah.

“Bagaimanapun, hubungan kamu sesama peniaga lain okay sahaja, tiada masalah.

“Saya juga tidak risaukan mengenai peniaga Melayu kerana permainan kami berbeza. Sebab utama adalah saya mahu terjah pasaran bukan Melayu dan pada masa sama cuba juga untuk menarik pelanggan Melayu,”

kata Fikry.

Bintang Cik Reen Cik Ngok Ngek ini berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Hairfeeks, pada Rabu.

Mengharapkan agar kedai barbershop yang diusaha mendapat sambutan ramai, Fikry turut mengharapkan sokongan berterusan dari pelbagai pihak.

Kami cuba lakukan yang terbaik dan pastinya kepuasan pelanggan adalah misi utama yang perlu dititikberatkan,” katanya lagi.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai gandingan kali kedua bersama Farah Nabilah menerusi drama Kau Yang Pertama, pelakon berusia 25 tahun ini tidak menafikan risau andai ada peminat yang mulai bosan.

Saya risau juga sekiranya penonton bosan dengan gandingan kami. Malah, pasti ada yang mungkin akan mengharapkan jangkaan yang lebih tinggi berbanding drama sebelum ini.

“Apa pun harapan saya sangat besar dan pastinya drama kali ini ada beza menerusi drama gandingan kami sebelumnya,” ujar Fikry yang turut menanam impian untuk beraksi di layar perak pula.

Published by
Noraini Abd Wahab