Ada Sebab Rancang Keluarga, “Saya Mengandungkan Anak Kedua Ketika Usia Anak Sulung Baru Cecah Lapan Bulan,” – Irma Hasmie

Share

Pelakon dan hos, Irma Hasmie mengakui merancang keluarga memandangkan jarak di antara permata hati sulung dan bongsu agak rapat sewaktu dilahirkan.

Jelasnya kepada MH, dirinya mengandungkan anak kedua ketika bayi pertamanya baru mencecah usia lapan bulan.

“Saya dan suami merancang selepas kelahiran kedua ini. Sebabnya selepas dikurniakan cahaya mata sulung, Allah berikan rezeki dapat anak kedua pula. Bagaimanapun, jarak mereka terlalu rapat.

“Saya mengandungkan anak kedua ketika usia anak sulung baru cecah lapan bulan. Kini yang kedua sudah cecah empat tahun.

“Apa pun saya teringin juga sebenarnya untuk hamil lagi. Bila tengok bayi, perasaan itu rasa macam… Nak tambah lagi, tak kan dua orang sahaja kan. Saya tidak kisah berapa cahaya mata, semuanya atas rezekiNya.

“Tapi niat di hati itu memang rasa mahu cahaya mata lagi,” katanya yang kini bahagia di samping suami serta dua cahaya mata, Redza Syah Irfhan, 6, dan Irma Nur Naylie, 5 tahun.

Irma dan suaminya, Redza Syah Azmeer Radzuan mendirikan rumah tangga sekitar tahun 2012.

Dalam perkembangan lain, Irma kini kerap diundang untuk memberikan ceramah selain berkongsi mengenai penampilan dan imej diri.

“Saya sudah hampir setahun ambil kursus penasihat kecantikan secara profesional dan ia diiktiraf. Sejak itu saya banyak ambil slot memberi ceramah dan latihan di organisasi dan syarikat atau kepada umum atas jemputan.

“Sebelum ini saya kerap dipelawa berikan ceramah selain berkongsi mengenai penampilan terbaik sebagai wanita muslimah misalnya. Pada masa sama, ada juga yang bertanya mengenai tips kecantikan, komunikasi selain tutorial hijab.

“Jadi daripada saya berikan perkongsian berdasarkan kepada pengalaman semata, mengapa tidak untuk saya dapatkan ilmu seterusnya kongsinya bersama umum. Sebab itulah saya mulai belajar secara serius berkaitan hal tersebut.

“Sekarang rasa lebih yakin dan jelas mengenai apa yang ingin saya kongsikan. Tidak hanya berkaitan dengan pengalaman sahaja, tetapi pengetahuan ilmu itu sendiri,” katanya yang sudah pun memulakan sesi berkenaan sebulan selepas tamat latihan.

Selain memberi perkongsian secara sendirian, ada ketika ia turut berpasangan dengan rakan artis, Heliza Helmimemandangkan bintang berkenaan turut mempunyai sijil dan kelayakan.

Ditanya mengenai sisi kerjaya seninya pula, bintang Hooperz ini mengakui perasaan rindu untuk kembali ke set tetap ada, cumanya ia bergantung kepada situasi dan kekangan komitmen.

“Untuk berlakon itu, rasanya sekarang keutamaan saya adalah pada keluarga. Apabila menguruskan rumah tangga dan anak-anak secara sepenuh masa, komitmen untuk lakonan itu juga perlu diambil kira.

“Buat masa sekarang saya lebih selesa untuk mengacara sahaja. Apa pun, kita tak tahu apa yang berlaku pada masa depan, insyaAllah bila semuanya sudah tersusun barulah boleh fikir untuk kembali ke set,” maklum Irma yang kali terakhir berlakon kira-kira tiga tahun lalu.

Terdahulu, Irma ditemui pada majlis ramah mesra anjuran Pa&Ma disamping meraikan kerjasama majalah berkenaan bersama SNS Products Sdn Bhd yang melancarkan produk terkininya iaitu ‘mifold Family’ di Malaysia di The Pearl, Kuala Lumpur.

‘Mifold Family’ terdiri daripada tiga jenis kerusi keselamatan kanak-kanak iaitu mifold, mifold Sport dan hifold di mana ianya sesuai digunakan oleh kanak-kanak yang berusia 4 tahun dan 15kg ke atas.

Majlis yang berkonsepkan high-tea juga bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada ibu bapa tentang kepentingan pengunaan kerusi keselamatan kanak-kanak. Lebih 80 orang ibu bapa telah menghadiri majlis ini termasuk selebriti popular.

Seiring dengan pengumuman oleh pihak kerajaan berkenaan dengan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang diwajibkan menjelang 2020, pihak SNS Products Sdn Bhd sangat bebesar hati bekerjasama dengan Pa&Ma dalam memperkenalkan jenama tersebut di Malaysia.

Published by
Rafiq Mazlan