Baru-baru ini, artis versatil Elly Mazlein telah diundang menjadi tetamu jemputan radio Suria FM menerusi segment Suria Petang yang dikendali oleh penyampai radio Tyzo, Suraya Borhan dan Sharifah Shahirah.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi mengakui ada menerima tawaran untuk menjadi penyampai di salah sebuah stesen radio tempatan.
Namun, penyanyi yang sinonim dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan ini berkata terpaksa menolak tawaran tersebut kerana masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.
“Memang ada tapi belum masanya lagi, tapi InsyaAllah kalau ada rezeki dan masa yang sesuai apa salahnya,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 40 tahun ini berkata gemar untuk mengendalikan segment di waktu petang sekiranya diberikan tanggungjawab untuk menjadi penyampai radio.
Dalam perkembangan lain, Elly kini sedang hamil anak kedua selepas mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama Muhammad Azlan Che Noh pada 18 Januari 2020.
Sebelum ini, Elly pernah mendirikan rumah tangga bersama pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun telah berpisah pada 15 Oktober 2015.
Hasil perkongsian hidup dikurniakan seorang cahaya mata anak perempuan bernama Putri Sara Sefhia, 5 tahun.
Foto: Instagram Elly Mazlein, Suria FM