Usahawan selebriti yang juga kakak kepada Neelofa,  Noor Nabila Mohd Noor mengakui selesa dengan statusnya sebagai ibu tunggal.

Mengekalkan hubungan baik dengan bekas suaminya, pelakon Sharnaaz Ahmad, kakak kepada pengacara Neelofa ini mahu memberikan fokus kepada diri sendiri.

“Ada yang mengharapkan sama ada kami kembali bersama selepas melihat hubungan kami baik. Sejujurnya huhungan kami sudah lama baik demi anak.

“Kalau ada jodoh, Insya-Allah. Tapi, rasanya saya lebih selesa untuk meneruskan hidup sendiri buat masa sekarang. Saya serta Sharnaaz pun sudah ‘move on’ dan fokus kami sekarang ialah anak, Jebat Jayden,” katanya.

IKLAN

Nabila ditemui di majlis pengumuman Neelofa sebagai duta rantau Asia Tenggara yang pertama untuk jenama kecantikan antarabangsa Lancome di One Utama, Petaling Jaya sebentar tadi.

Tambah wanita asal Kelantan ini, dia bersyukur kerana Sharnaaz memberikan komitmen yang sangat baik sebagai seorang bapa biarpun mereka tidak bersama lagi.

“Saya gembira dan bersyukur kerana Sharnaaz tak pernah abaikan tanggungjawab sebagai bapa.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari dia meluangkan masa berjumpa dengan anak.

“Saya sendiri tak kisah kerana anak kami memang berhak mendapat kasih sayang ibu dan bapa secara sama rata biarpun kami tidak bersama lagi,” katanya lagi.

Nabila dan Sharnaaz sah bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang bakal menginjak usia dua tahun Ogos ini.