Pelakon dan pengacara, Mira Filzah mendedahkan apa sahaja yang dikongsikannya menerusi media sosial terutamanya Instagram hanya sekadar salah satu caranya berinteraksi bersama peminat.
Menurut Mira, dia tidak berniat untuk mengganggu ruang peribadi orang lain namun menyifatkan hanya memenuhi permintaan peminat yang sayang kepadanya.
Penjelasan tersebut dibuat susulan tindakan seorang individu yang meluahkan rasa meluat terhadap perkongsian Mira yang sering dijadikan bahan berita sejak kebelakangan ini.
“Apa saja perkongsian yang saya muat naik di Instagram Stories menerusi ‘Ask Me Questions’ adalah cara untuk memberitahu dan berkongsi pandangan bersama peminat dan pengikut yang baik dengan saya.
“Saya tidak pernah ditemubual berhubung perkongsian yang saya berikan. Ia tidak adil kepada saya dan Emir untuk orang menilai kami sebab mereka baca beberapa artikel berdasarkan soalan peribadi antara saya dan peminat.
“Tidak pernah bermaksud untuk menganggu ruang peribadi anda dengan berita begini apabila ia hanya pandangan peribadi yang diambil dari ruang peribadi saya sendiri,” tulisnya.
Kenyataan tersebut dikongsikan oleh pelakon drama, Bidadari Kiriman Tuhan itu menerusi ruangan Instagram stories miliknya.
Dalam pada itu, Mira turut menegaskan jika ada mana-mana pihak yang kurang selesa mengenai perkara tersebut, mereka boleh mengabaikannya sahaja.
“‘Ask Me Question’ di Instagram adalah salah satu cara saya berkomunikasi dan berinteraksi bersama peminat dan pengikut saya.
“Kalau tiba-tiba keluar artikel terbaru berdasarkan content di IG stories dan sesetengah orang tidak suka membacanya, jadi jangan baca. Elak kan je.
“Saya tak pernah minta pun artikel-artikel seperti itu diterbitkan dan saya pun tak salahkan pihak media. Itu memang tugas mereka.
“Kalau tak suka, abaikan je,” akhirinya.
Sumber: Instagram Mira Filzah