Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana tidak mahu mengulas lanjut mengenai desas-desus yang membayangkan namanya turut dicalonkan sebagai pengganti Neelofa untuk mengendalikan program hiburan, MeleTop di samping Nabil Ahmad.
Malah, bintang yang mesra disapa Nana ini juga tidak menduga apabila namanya turut disebut-sebut untuk mengacakan program berkenaan, selepas Neelofa tampil membuat pengumuman untuk mengundurkan diri dari MeleTop selepas lapan musim bersiaran.
Memetik Harian Metro, Nana pada masa sama turut merasakan ada pengacara lain yang lebih layak berbanding dirinya.
“Tak sangka juga nama saya pun disebut-sebut untuk mengacarakan program MeleTop selepas Neelofa undur diri.
“Saya fikir ada pengacara wanita lain lebih sesuai bergandingan dengan Nabil iaitu Jihan Muse kerana pengalaman serta kewibawaan dimilikinya,” katanya yang pernah meraih anugerah pengacara popular.
“Saya bukan tidak yakin dengan kemampuan diri tetapi mengacarakan program MeleTop itu cabarannya besar. Apapun, terima kasih kepada peminat yang menyebut nama Nana.
“Semuanya bergantung kepada rezeki. Saya memang tidak tahu menahu nama turut disebut sebagai calon pengganti,” jelasnya lagi.
Apabila ditanya mengenai dirinya yang didakwa mampu menaikkan ‘rating’ tontonan, Nana mengakui program tersebut sudah pun memiliki penjenamaan tersendiri dan kelompok penonton setia.
Sebelum ini, ada beberapa nama tiga selebriti wanita popular termasuk nama penyanyi Hatiku Milikmu itu dikatakan yang disebut-sebut bakal menggantikan tempat Neelofa.
Foto: Instagram Siti Nordiana, Neelofa