Datin Alyah atau nama sebenarnya Hasliah Abu Hasan meluahkan rasa syukur apabila Jutaan Purnama berjaya mara ke separuh akhir Muzik-Muzik yang ke-34.
Menjadi antara 30 buah lagu yang bakal berentap bagi bersaing di Anugerah Juara Lagu (AJL) akan datang, bintang itu tidak meletak harapan besar, sebalik bersyukur dan cuba memberikan yang terbaik.
“Alhamdulillah, agak lama juga dah tak merasa benda-benda macam ni. Tapi saya bersyukur kerana masih lagi diberi peluang untuk beraksi dengan genarasi baru dan seangkatan.
“Sejujurnya saya tak berani nak cakap apa-apa cuma saya harap saya dapat buat yang terbaik untuk semi final nanti.
“Apa yang akan mendatang semuanya di luar kawalan, jadi saya minta peminat Jutaan Purnama dan peminat Alyah mendoakan saya dapat buat yang terbaik nanti,” kata Alyah kepada MH.
Isteri pengarah muzik, Datuk Ramli Ms itu ditemui pada di sidang media separuh akhir Muzik-Muzik ke-34, pada Rabu.
Di samping itu, penyanyi asal Gelang Patah, Johor ini turut menyifatkan diri sendiri sebagai pencabar sementelah hampir 5 tahun tidak membuat persembahan di pentas AJL.
“Sejujurnya pencabar saya adalah diri-sendiri, bukan penyanyi lain. Saya sendiri agak lama tak buat persembahan di pentas AJL.
“Kalau ada yang anggap ada lagu lain yang boleh berikan cabaran, peminat ada hak untuk membuat penilaian sendiri,” kongsi Alyah.
Sekadar informasi, kali terakhir Alyah beraksi di pentas AJL29 pada 2015 lalu menerusi lagu Sesal Separuh Nyawa.
Terdahulu persembahannya untuk lagi Kisah Hati di AJL26 lalu dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik, menewaskan 11 lagu lainnya untuk kategori itu.