“Agak Teruk, Terasa Sampai Sekarang,” – Farali Khan ‘Update’ Terkehel Rahang Muka

Share

Pelakon, Farali Khan mendedahkan dirinya telah mengalami kecederaan terkehel di bahagian rahang muka sewaktu melakonkan babak pertempuran di dalam filem sarat aksi terbaru, Tujuh Dua Belas.

Bagaimanapun, Farali menyifatkan kecederaan ketika berlakon filem aksi sememangnya lumrah sebagai seorang anak seni.

“Sebenarnya saya tak nak berkongsi. Saya tak mahu orang yang tak sengaja mencederakan saya itu rasa bersalah kerana ia agak teruk. Kesannya masih terasa sampai sekarang.

“Namun, cedera ketika berlakon filem aksi itu adalah normal dan saya pun tak salahkan dia.

“Ia memang sudah ditakdirkan berlaku pada waktu itu. Rahang saya telah terkehel. Kalau saya buka mulut luas, akan ada bunyi,” katanya kepada MH.

Farali yang juga merupakan adik kepada pelakon popular, Miller Khan berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Tujuh Dua Belas yang berlangsung di Starling Mall, Petaling Jaya pada Selasa.

Katanya lagi, insiden berkenaan berlaku kerana kurang latihan disebabkan waktu penggambaran yang agak terhad.

“Insiden tersebut berlaku disebabkan kami terpaksa mengubah koreografi pada saat akhir. Saya pula tak pernah berlatih berlawan dengan individu tersebut.

“Jadi, saya tak tahu anggaran dari segi ketinggian dan ketepatan masa. Keserasian juga masih tiada. Bila kami lakukan adegan tersebut serta merta, maka berlakukan kejadian itu.

“Saya tiada pilihan. Kita pula punyai waktu penggambaran yang sangat terhad. Mahu atau tidak, saya tetap kena buat juga.

“Jadi, saya hanya cuba buat yang terbaik. Benda nak jadi, kita tak boleh elak. Saya tak salahkan sesiapa,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Farali memaklumkan dirinya lebih selesa untuk tidak mendedahkan nama rakan pelakon tersebut.

Kongsinya lagi, dia lega selepas pihak doktor mengesahkan tiada kecederaan serius yang berlaku pada rahangnya itu.

“Saya sudah membuat pemeriksaan dengan pihak doktor dan tiada apa-apa yang serius berlaku. Cuma bunya ‘klik’ itu masih ada.

“Saya pun tidak menjalani sebarang rawatan susulan sebab pihak fisologi dan akupuntur kata tiada sebarang masalah.

“Jadi, saya biarkan sahaja dan tak mahu memikirkan sangat. Cuma bunyi itu sahaja buat rasa lain,” ujarnya lagi.

Terdahulu, filem Tujuh Dua Belas merupakan sebuah filem aksi yang mengangkat tema penculilkan dan pemerdagangan organ kanak-kanak.

Selain Farali, filem ini turut membariskan pelakon-pelakon seperti Johan As’ari, Idzham Ismail dan Chintya Chandranaya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf