Penerbit terkenal, Datuk A Aida sanggup berhabis hampir RM150,000 semata-mata untuk membeli tiga kamera baharu bagi kegunaan penggambaran drama terkini, Bidadari Salju yang bakal ditayangkan di slot Akasia, TV3 Disember depan.
Bagi memberikan yang terbaik untuk drama bersiri sebanyak 28 espisod itu, A Aida, 50, berkata dia juga melabur banyak untuk babak bermain bola sepak yang menggunakan khidmat lebih 20 pelakon extra membabitkan remaja yang ‘fit’ dan sado.
“Saya fikir agak lama juga tidak hasilkan drama untuk slot tersebut. Tambahan lagi drama adaptasi ini jalan cerita berbeza dengan yang lain dan saya mahukan sesuatu yang baru bukan saja dari segi ‘shot’, tapi juga ‘look’ untuk drama ini.
“Kebetulan, pengarah, Riza Baharudin ada kepakaran itu. Sebab itulah saya berani melabur demi memberikan yang terbaik buat penonton, insya-Allah.
“Apabila dia cakap mahu gunakan tiga kamera, saya tak fikir panjang dan terus buat tempahan. Semuanya demi drama ini agar hasilnya nanti lebih menarik dan berkualiti,” katanya.
A.Aida turut menambah, dia turut melakukan sesi uji bakat bagi mencari pelakon extra yang benad-benar mempunyai asas dalam bola sepak.
“Dalam masa sama, drama ini ada babak bermain bola sepak di padang.
“Justeru, saya berasakan ia perlu diberi perhatian dan bukan sekadar ‘shoot’ biasa saja. Jadi, saya dan pasukan berbincang untuk mencari pelakon extra yang sesuai dengan babak itu.
“Saya buat uji bakat dan menetapkan kriteria kena remaja dan sado. Bagi saya, pemain bola perlu kelihatan ‘fit’ barulah nampak ‘real’.
“Takkan saya nak ambil yang boroi pula kan. Memang tak sesuai,” katanya lagi.
Sementara itu, Riza berkata itu kali pertama dia akan mengarah menggunakan tiga kamera.
“Ini kali pertama saya dapat ‘shoot’ menggunakan tiga kamerra. Sebelum ini satu atau dua kamera saja. Ada sebab saya nak gunakan tiga kamera. Ini kerana, kalau pengkarya luar, mereka menggunakan enam sehingga tujuh kamera.
“Mereka gunakan banyak teknik kamera untuk mendapatkan lebih banyak ‘shot’ dan reaksi untuk setiap babak. Alhamdulillah, saya tahu dan ada kelebihan di situ untuk memudahkan kerja semua orang dan mencantikkan hasil kerja.
“Sebenarnya saya saja uji Datuk dengan buat permintaan tiga kamera, tak menjangka pula dia bersetuju.
“Tapi, apabila dah bagi, saya kena buat yang terbaik. Saya kena tunjuk yang lebih baik,” katanya.
Puteri Salju terbitan A Aida Productions itu menampilkan pelakon Adam Lee, Sweet Qismina, Jasmine Suraya dan ramai lagi.