Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau keadaan lalu-lintas pada sebelah malam semasa fasa 3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Kuala Lumpur.
Video yang dikongsikan laman Instagram Istana Negara itu menyaksikan Seri Paduka Baginda menunjukkan isyarat bagus dalam menzahirkan rasa berpuas hati atas kerjasama yang diberikan rakyat Malaysia dalam mematuhi arahan pihak kerajaan.
“16 April 2020 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan meninjau keadaan lalu-lintas pada sebelah malam semasa fasa 3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Kuala Lumpur.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan atas usaha kerajaan meneruskan fasa 3 PKP dan berharap rakyat dapat terus memberi keutamaan kepada penjagaan kesihatan diri dan terus berada di rumah bagi membendung wabak Covid-19.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa berpuas hati apabila rakyat memberi kerjasama yang baik mematuhi PKP fasa 3 yang dilaksanakan pihak kerajaan.
“Seri Paduka Baginda berdoa semoga penularan wabak ini berjaya ditangani dan diakhiri dgn segera,” kongsi Istana Negara.
Terdahulu, Baginda pernah mencemar duli meninjau keadaan di sekitar Kuala Lumpur dengan meninjau beberapa lokasi tugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat sekatan jalan raya.
Fasa ketiga PKP bermula dari 15 hingga 28 April ini.
Foto : Instagram Istana Negara