Berita

Aina Abdul ‘Gerun’ Pegang Trofi Bintang Paling Popular, Anggap Doa Ibu Tiada Hijab

Share

Dinobatkan selaku Bintang Paling Popular ke-36, penyanyi Aina Abdul menyifatkan kemenangan ini sebagai hasil pengorbanan dan usaha kerasnya sepanjang 10 tahun bergelar anak seni.

Menurut Aina, kemenangan ini juga tidak akan mampu dicapai tanpa sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh keluarga dan para peminat.

“Saya tidak menjangkakan langsung kemenangan ini. Perjalan ini tidak mudah. Segala yang berlaku ini 100% kerana peminat-peminat saya.

“Untuk genggam anugerah ini memerlukan banyak pengorbanan terutama dari segi masa dan tenaga. 10 tahun dalam industri ini tidak sia-sia.

“Jadi, saya nak dedikasikan kemenangan ini kepada ibu, abang dan peminat yang mengundi berjuta-juta.

“Tiada wang ringgit yang mampu membayar jasa mereka. Diharapkan karya-karya saya selepas ini akan terus membuatkan mereka gembira,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Imagi itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media ABP36 yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, malam tadi.

Bukan setakat itu, penyanyi berusia 31 tahun ini juga turut dinobatkan selaku pemenang kategori Penyanyi Wanita Popular buat dua tahun berturut-turut.

Bagaimanapun, Aina menganggap kemenangan ini bukanlah tiket untuk meninggi diri sebaliknya ia hadir dengan tanggungjawab.

“Kemenangan dua anugerah ini merupakan satu peringatan buat saya untuk terus bekerja keras. Saya sebenarnya takut.

“Ini bermakna saya perlu lebih banyak membuktikan kemampuan saya dalam industri ini.

“Dalam hidup ini, kejayaan juga boleh jadi satu dugaan. Namun, saya tetap bersyukur dengan kemenangan ini.

“Ada banyak hari saya akan berasa ‘down’. Oleh itu, anugerah-anugerah ini akan menjadi simbol kekuatan buat saya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Aina turut merakamkan ucapan penghargaan buat ibunya yang selama ini telah menjadi tulang belakang menyokong kerjayanya sebagai anak seni.

“Mungkin ini bukan kerjaya yang diidamkan ibu saya. Namun, selepas pemergian abah, mak saya yang menggalas tanggungjawab itu. Beliau sokong saya 100 peratus. Dia yang inginkan kejayaan ini.

“Sejak 2009 sehingga sekarang, benar kata orang, doa ibu tiada hijab. Ia terbukti malam ini. Ibu saya mungkin belum tahu keputusan malam ini.

“Dia selalunya akan rakam program ini dan tonton bersama saya,” akhirinya.

Terdahulu, Aina memperoleh undian tertinggi sebanyak 882,662 sekali gus dinobatkan selaku selebriti paling popular tahun ini.

Kemenangan tersebut membolehlam Aina membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah dan trofi.

Published by
Aizam Manaf