Aina Abdul Tembusi Persada Muzik Dunia, Cemerlang Julang Nama Malaysia Di Korea Selatan

Share

Sepanjang tempoh hampir sedekad bergelar anak seni, pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang menjadi idaman ramai berjaya diraih penyanyi Aina Abdul.

Terbaharu, figura cemerlang ini terus konsisten memahat nama dalam satu lagi detik kemasyhuran membanggakan di persada antarabangsa apabila terpilih mewakili negara sekaligus mengharumkan nama Malaysia untuk beraksi di pentas global ‘ABU TV Song Festival 2023’ anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU).

Penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 pada kali ini dihoskan oleh stesen televisyen nasional Korean Broadcasting System (KBS) yang telah berlangsung di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan, pada Ahad.

Ia turut menyaksikan pembabitan seramai 11 penyanyi tersohor dari 11 negara telah terpilih untuk menjayakan acara penuh gemilang tersebut termasuk Malaysia yang diwakili oleh Aina Abdul.

Manakala 10 penyanyi lain yang turut terlibat terdiri daripada Tia Ray (China), Chau Kat Pui (Hong Kong), Malini Awasthi (India), Ayaka Hirahara (Jepun), Mamamoo+ (Korea Selatan), Winifai (Macau), Sheron Silva (Sri Lanka), Annamyradow Begmyrat (Turkmenistan), Umut Sülünoğlu & Uğur Önür (Türkiye) dan Erik Lê Trung Thành (Vietnam).

Persembahannya menerusi lagu Terus Hidup berjaya memukau hampir 2,000 penonton. Lagu ikonik tersebut juga pernah

Mengulas lanjut mengenai persembahannya di pentas gah ‘ABU TV Song Festival 2023’, Aina Abdul menyifatkan ia sebagai satu penghormatan.

“Ia bukan sahaja memberi dimensi positif kepada kerjaya seni saya, bahkan boleh disifatkan antara salah satu pengalaman terbaik yang pernah saya kecapi sebagai penyanyi.

“Seperti yang kita tahu, industri K-Pop mempunyai reputasi global dan digilai oleh peminat seluruh dunia. Manakala KBS pula merupakan antara platform utama yang menjadi lubuk kelahiran artis-artis ternama K-Pop.

“Mengetahui bahawa program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan ini akan ditonton oleh jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, saya tidak dapat menggambarkan betapa bermaknanya peluang yang diberikan tersebut.

“Walaupun hanya sebuah lagu, saya bangga dapat membawa nama dan budaya Malaysia tercinta di pesada dunia. Dalam masa yang sama, kesempatan beraksi di festival tersebut turut melengkapi hasrat saya untuk menghiburkan peminat di luar negara.

“Terharu  apabila mengetahui ada di antara mereka yang tinggal di luar daerah Seoul sanggup ‘travel’ jauh semata-mata ingin menonton persembahan saya secara ‘live’,” katanya.

Aina yang baru sahaja melancarkan album sulung turut meluahkan rasa bertuah kerana dapat meraih pengalaman bekerja di luar negara.

“Jujurnya,rasa cukup bertuah kerana bukan sahaja dapat berkongsi pentas dengan penyanyi handalan dari rantau Asia-Pasifik, malah dapat mengutip pengalaman bekerja dengan krew produksi televisyen antarabangsa yang cukup berdedikasi dan profesional.

“Segala urusan berkaitan program juga berjalan dengan lancar dan menyeronokkan. Walaupun terdapat kekangan bahasa, namun tiada sebarang masalah yang timbul kerana segalanya telah disusun secara terperinci dan teratur.

“Pihak KBS juga turut menyediakan khidmat penterjemah untuk semua peserta bagi memudahkan komunikasi.

“Saya berharap persembahan ini dapat mempersonakan kesemua audiens. Manalah tahu, mungkin selepas menonton

program tersebut, nama saya di Korea Selatan semakin diingati, peminat semakin bertambah dan mereka mula mengikuti evolusi muzik Aina Abdul.

“Besar harapan agar selepas ini saya akan menerima lebih banyak undangan untuk kembali beraksi di sini, mungkin untuk projek kolaborasi yang lebih istimewa, insya-Allah. Terima kasih, Korea untuk pengalaman yang tidak dapat dilupakan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aina bakal mengadakan konsert solo berskala besar ‘A Night With Aina Abdul’ 3.0 anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Aina Abdul Entertainment (AAE) di Axiata Arena Bukit Jalil pada 18 November depan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH