Pengarah, Amin Khalid akui amat berbesar hati untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh bapanya yang juga merupakan sutradara terkenal, Allahyarham Mamat Khalid.
Menurut Amin, dia mengambil masa selama dua tahun untuk mengumpulkan semangat sebelum memutuskan untuk kembali meneruskan karya yang dinanti-nantikan penonton iaitu filem 19 Puasa: Playboys Of Plestik Hitam.
“Alhamdulillah, ramai yang beri saya semangat untuk memeruskan karya arwah ayah. Selepas arwah meninggal, saya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk kumpul kembali semangat.
“Ibu, adik beradik dan kawan-kawan arwah pun banyak bagi saya peransang,” katanya kepada MH.
Amin berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana Program Ramadan Astro 2024 baru-baru ini.
Pada masa sama, Amin turut berterima kasih kepada pengarah Mohd Latiff Zami atau lebih dikenali sebagai Yoep Hitler kerana banyak membantunya memberikan idea untuk mengarahkan filem ini.
“Saya mencari idea dengan Yoep Hitler. Alhamdulillah, beliau sudi bantu saya. Bila lama tidak muncul dalam bidang pengarahan, saya ingin memberikan tribute buat karya-karya arwah ayah dalam francias ini.
“Pada awalnya, saya merasakan tanggungjawab ini agak berat. Lama-kelamaan, ia menjadi lebih mudah kerana ramai yang memberikan kepercayaan kepada saya.
“Perlahan-lahan saya dapat yakinkan diri untuk mengarahkan karya ini,” katanya lagi.
Malah, pengarah filem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali ini turut memuji barisan pelakon yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang menjayakan naskhah ini.
“Alhamdulillah, sangat mudah untuk berkerja dengn para pelakon. Mereka juga beri kerjasama yang baik.
“Mereka layan saya seperti mana mereka bersama ayah dahulu,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Amin akui ada kalanya dia berasa agaksebak untuk duduk di kerusi pengarah yang ditinggalkan oleh bapanya itu.
“Saya akui memang ada rasa sayu sepanjang mengarahkan drama ini. Saya sudah biasa berada di set bersama arwah ayah sejak kecil.
“Ada juga momen saya menitiskan air mata tapi bukan depan orang ramai,” akhirinya.
19 Puasa: Playboys Of Plestik Hitam bakal ditayangkan di Astro First pada bulan Ramadan nanti.
Antara barisan pelakon yang membintangi filem ini adalah Bell Ngasri, Aziz M Osman, Joey Daud, Imuda, Dewa Sharwani NS, TJ Isa dan Rashid Mohd.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.