Setelah lebih sedekad berkhidmat bersama stesen radio Sinar, penyampai radio, Abby Fana telah pun menamatkan perkhidmatannya secara rasmi pada Khamis.
Menurut laporan Astro Awani, keputusan tersebut dibuat berikutan memenuhi amalan biasa dalam pentadbiran setiap organisasi.
Jelas Abby atau lebih mesra disapa Kak Bed, meski pun keputusan tersebut agak berat, namun dia tetap berlapang dada menerima perkhabaran tersebut.
Malah, Abby yang popular menerusi segmen Sembang Sinar itu juga percaya setiap permulaan pasti ada pengakhirannya.
“Sudah 14 tahun dengan Sinar, mahu tak sedihnya. Pada awalnya, saya fikir saya kuat untuk melaluinya, namun, pada terakhir di konti, air mata saya tumpah juga. Sukar untuk saya gambarkan kesedihan dan kepiluan itu, namun, sebagai manusia, saya harus rasional menerima kedatangan saat ini.
“Ikatan saya dengan Sinar terlalu kuat. Sembang Sinar membuka ruang untuk saya berkarya dengan bebas. Bersama Sinar saya mengenali ramai kawan dan peminat baharu. Terima kasih untuk 14 tahun yang sangat indah. Terima kasih pengurusan Sinar dan Astro atas kesempatan dan rezeki yang diberikan buat saya selama 14 tahun,” katanya seperti yang dipetik.
Dalam pada itu, Abby turut memaklumkan, dia sebenarnya sudah pun mengetahui mengenai perkara tersebut sejak dua bulan lalu bahawa kontraknya bersama Sinar akan berakhir pada penghujung tahun 2020.
“Saya ada ruang masa dua bulan untuk membuat persiapan mengakhiri tugas dan akhirnya masa itu tiba juga. Saya hargai kesetiaan peminat-peminat saya yang tidak jemu-jemu menyokong saya sepanjang bersama Sinar,” katanya lagi.
Menerusi perkongsian di Instagram, Abby memberi tahu, dia sudah pasti akan merindui sahabat-sahabat di tempat kerja terutamanya ketika berada di surau
Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan rasa sedih selain turut menitipkan ucapan selamat maju jaya buat Abby.
Sumber: Instagram Abby Fana & Astro Awan